Friday, March 7, 2008

Rekod kemenangan 1999 bakal dipecahkan?

Rekod kemenangan 1999 bakal dipecahkan?

Johari Jaafar
Fri | Mar 07, 08 | 11:34:31 am MYT

IPOH, 7 Mac (Hrkh) – Berdasarkan perkembangan semasa dan kebangkitan rakyat menyokong PAS dan KeADILan Perak, ia dilihat mampu memecahkan rekod kemenangan Barisan Alternatif dalam pilihan raya umum 1999.

Malah tinjauan yang dibuat di beberapa buah kerusi Dun dan Parlimen di negeri ini menunjukkan kesedaran tinggi dipamerkan oleh para pengundi Melayu, malah lebih-lebih lagi kaum India dan Cina untuk membuat perubahan dengan "menumbangkan"BN .

Dalam pilihan raya umum kali ini PAS Negeri Perak meletakkan calon-calonnya di 21 kerusi Dun dan tujuh kawasan Parlimen, manakala KeADILan meletakkan calonnya di 20 kerusi Dun dan sepuluh kawasan Parlimen.

Pada pilihan raya umum 1999, PAS Perak mencatat kemenangan dua kerusi Parlimen dan tiga Dun, manakala KeADILan pula hanya satu Dun sahaja.

Dua kerusi Parlimen yang dimenangi PAS itu ialah Parit dan Parit Buntar, manakala tiga Dun yang dikuasai ialah Belanja, Gunung Semanggol dan Titi serong. KeADILan pula menang di Dun Bota.

"Berdasarkan petunjuk terkini saya percaya PAS Perak mampu memecahkan rekod kemenangan pada pilihan raya umum 1999," jelas Ketua Penerangan PAS Perak yang juga calon di Dun Rungkup.

"Hingga setakat ini petunjuk cukup positif untuk BA mencapai kejayaan di kawasan ini, melainkan di saat-saat saat akhir nanti BN gunakan tektik kotor," komen calon Dun Belanja, Ustaz Mohammad Isme Mat Taib.

Calon PAS Parlimen Parit, Dr Najihatulsolehah Ahmad pula menjangkakan sejarah kemenangan PAS pada pilihan raya umum 1999 akan berulang kembali di kawasan ini.

"Ada petanda yang menunjukkan ahli-ahli Umno di Parit tidak begitu senang dengan tindak tanduk Ketua Umno Bahagian Parit, yang juga calon BN di Dun Belanja, Dato' Zaim Abu Hassan yang mengenepikan bekas wakil rakyat Dun Bota, Dato' Che Ri Md Daud dan menurunkan Dato' Nasaruddin Hashim dari kerusi Parlimen (2004) ke kerusi Dun Bota (2008).

"Mereka juga cukup tidak senang dengan Zaim yang meletakkan proksinya Mohd Nizar Zakaria bertanding di kerusi Parlimen Parit. Petunjuk ini memberikan harapan yang besar untuk PAS mencatat kemenangan sekali lagi," ujarnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak yang bertanding di kerusi Dun Trong menyifatkan reaksi yang ditunjukkan para pengundi di kawasan itu terhadap PAS cukup memberangsangkan dan gegaran tahun 1999 itu cukup dirasai di kawasan ini.

"Walaupun di saat-saat akhir nanti BN menggunakan taktik kotornya tetapi jangan lupa kita ada Allah, kita mengadu kepadaNya, Insya-Allah kemenangan menyebelahi kita,” ujarnya.

PAS Perak telah meletakkan enam kawasan Dun tumpuan yang pada perkiraan PAS Perak, kawasan tersebut boleh dimenangi pada pilihanraya umum ke 12 ini. Kawasan tersebut ialah Dun Belanja, Gunung Semanggol, Rungkup, Pasir Panjang, Kubu Gajah dan Titi Serong.

Namun begitu pemerhati politik tidak menolak kemungkianan berlaku kejutan di kawasan yang bukan tumpuan seperti di Dun Manjoi, Sungei Rapat, Air Kuning, Kamunting dan Changkat Jong.

No comments: