Tuesday, April 15, 2008

Apakah Harapan PR menumbangkan BN Di Parlimen?

A Kadir Jasin

[PERINGATAN: Komen menggunakan pengenalan anonymous tidak akan dilayan. Sila gunakanlah nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

APAKAH wujud kemungkinan Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan tanpa pilihan raya baru diadakan?

Itulah soalan yang bermain di fikiran banyak orang sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu apabila BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat buat kali pertama sejak tahun 1969.

BN telah pun kalah di lima wilayah dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-12 iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dicampurkan Kelantan, BN gagal memerintah enam wilayah.

Soalnya, adakah kedudukan BN juga tergugat di Dewan Rakyat di mana ia mendahului Pakatan Rakyat (PR) – gabungan PKR, DAP dan Pas – dengan sebanyak 29 kerusi? BN memang 140 dan PR 82.

Untuk “merampas kuasa,” PR perlu memujuk tidak kurang daripada 30 Ahli Dewan Rakyat (ADR) BN supaya berpaling tadah.

Kalau ditanya kepada para pembesar BN, mereka tentulah berkata pembangkang bermimpi di siang hari. Tetapi itulah juga sindiran mereka terhadap pembangkang pada PRU baru lalu. (“Syok-syok saja,” kata Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.)

Tetapi menjelang tengah malam 8 Mac dan awal pagi 9 Mac pembangkang bukan sekadar bermimpi di siang hari malahan mimpi mereka indah sekali. Sebaliknya bagi BN, impian menang besar bertukar menjadi igauan yang amat ngeri.

Kalau ditanya kepada para peneraju PR pula, mereka tentulah berkata tiada apa yang mustahil. Seperti didakwa oleh naib presiden PKR, Mohd Azmin Ali, baru-baru ini, lebih daripada 30 ADR BN “sudah pun di dalam kantung PR.”

Atau seperti kata Ketua Pemuda Pas Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, peneraju PR perlu mengubah acuan minda daripada pembangkang kepada pemerintah.
Katanya kemungkinan PR mengambil alih pucuk pimpinan negara semakin nyata.

Apa asas ramalan beliau yang begitu berani dan radikal?

“Kerana parti-parti komponen BN kini berpecah-belah akibat masalah dalaman dan terlalu terpesong untuk menumpukan perhatian kepada urusan mentadbir negara,” kata Salahuddin.

Lantas dia mengemukakan teori domino. Dia mendakwa sekurang-kurangnya 10 ADR BN akan menyeberang ke pihak PR “dalam masa beberapa minggu akan datang” dan ini akan mencetuskan kesan domino ke atas ADR BN yang lain.

Katanya ADR PR berpeluang dan wajib mengisi rongga (void) yang diwujudkan oleh wakil-wakil BN yang sedang bersengketa itu.

“Kita tidak berangan-angan. Ia (menubuhkan Kerajaan Pusat) boleh menjadi kenyataan pada bila-bila masa,” katanya di Sidang Akhbar di Kuala Lumpur pada 12 April.

Sebesar manakah harapan PR berjaya memujuk ADR BN berpaling tadah? Pada pandangan saya ia agak sukar dan tidak bermoral tetapi tidak pula mustahil. Ia pernah berlaku sebelum ini. Isu moral bukan utama dalam politik kerana matlamat menghalalkan cara.

Yang paling besar ialah apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) berpaling tadah beberapa hari sebelum pembuangan undi pilihan raya umum 1990 menyebabkan BN kehilangan lebih kurang 20 kerusi di Sabah. Pada tahun 1994, giliran Ahli Dewan Undangan PBS pula berpaling tadah kepada BN.

Sabah masih berupa lubuk harapan bagi PR menangguk. Ketua de facto PR, Anwar Ibrahim, mempunyai pengaruh kuat terhadap politik Sabah ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan masih mengekalkan hubungan yang rapat dengan negeri itu.

Kebetulan hari ini (14 April) adalah hari Anwar bebas daripada sekatan memegang jawatan politik yang dikenakan ke atasnya berikutan sabit kes rasuah 10 tahun lalu.

Tetapi untuk memperoleh 30 ADR BN, dia perlu menebarkan jalanya lebih luas. Sarawak berpotensi tetapi negeri-negeri semenanjung agak sukar. Pada masa yang sama, PR tidak boleh terlalu yakin bahawa wakil-wakilnya sendiri tidak akan belot.

Keyakinan PR yang tinggi ini tercetus daripada tiga perkembangan positif iaitu kejayaan membentuk pakatan pilihan raya, kejayaan menubuhkan kerajaan-kerajaan negeri tanpa masalah besar dan kejayaan membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya.

Tidak dapat disangkal yang kerajaan-kerajaan negeri PR ditubuhkan lebih awal dan tanpa masalah besar, kecuali di Perak, sedangkan BN mengalami krisis teruk di Terengganu dan Perlis apabila calon-calon Menteri Besar yang ditauliahkan oleh Abdullah ditolak Istana.

Selain melompat parti, ada satu lagi kemungkinan yang mungkin lebih mudah berlaku iaitu ADR BN memihak kepada PR dalam hal-hal tertentu. Misalnya mereka tidak menyokong rang undang-undang yang dibentangkan (oleh kerajaan) atau usul yang dikemukakan oleh BN. Sebaliknya mereka mungkin mengundi menyokong usul PR.

Kemungkinan PR mengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri juga tidak boleh ditolak bulat-bulat. Namun ini mungkin tidak berlaku kerana adalah menguntungkan PR jika Umno, BN dan kerajaan terus bergolak dan lemah di bawah kepemimpinan Abdullah.

Sebab itulah kita lihat bagaimana peneraju PR seperti Karpal Singh lebih gigih menyerang pihak-pihak yang menentang Abdullah dan kurang menyerang atau mengkritik Abdullah.

Rentetan PRU ke-12 belum selesai. Dalam jangka masa terdekat, dua soalan yang bermain di fikiran adalah apa kesudahan nasib Abdullah dan bilakah Anwar akan kembali ke Parlimen.

sumber: Kadir Jasin

No comments: