Saturday, April 12, 2008

Dr M: Ganti pimpinan Umno sekarang

Apr 12, 08 11:04pm
Peralihan pucuk kepimpinan Umno harus dilakukan sekarang bagi memastikan Umno dapat dipulihkan dan memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi semula negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

mahathir mohamad 180108Mantan perdana menteri berkata kerja untuk memulihkan parti akan mengambil masa yang panjang dan "kita akan ada pilihanraya tidak lebih dari lima tahun."

"Lima tahun bukan satu masa yang panjang. Jadi jika tidak diadakan peralihan sekarang, kita mungkin tidak cukup masa untuk menarik balik orang parti kita yang telah mengundi parti lawan, terutama jika parti lawan cekap, (dan) mereka membuat pemerintahan yang cukup baik di Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor, masa itu kita sudah tidak dapat balik, sebab itu kita perlu bertindak sekarang," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada media selepas berucap pada forum "Krisis Kepimpinan Melayu Pasca Pilihanraaya Umum ke-12: Di Mana Silapnya" di Kajang hari ini.

Beliau mengulas kenyataan naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berbincang mengenai pelan peralihan kuasa dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan Bernama lagi, Dr Mahathir berkata jika benar peralihan kuasa itu akan diadakan, cara itulah yang terbaik dan pertukaran antara perdana menteri dengan timbalannya sepatutnya berjalan dengan licin.

Pinda perlembagaan

"Kebanyakan daripada ahli sudah hendak kepada peralihan, beliau (Abdullah) mesti respons kepada desakan ini dan buat dengan cara baik. Kalau tidak nanti, nak ada mesyuarat untuk pinda perlembagaan, lepas tu undi tidak percaya... Semua ini bagi imej beliau rosak sahaja," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata beliau tidak ada kena-mengena dengan proses peralihan kuasa itu.

"Tak ada kena-mengena dengan saya. Saya tidak terlibat dalam perkara ini. Beliau (Abdullah) perlu melakukan apa yang perlu untuk parti.

"Jelas bahawa daripada menyalahkan saya atau menyalahkan orang lain, beliau perlu bertanggungjawab kerana perkara ini berlaku semasa tempoh beliau memegang jawatan," katanya.

Ditanya mengenai calon yang perlu diketengahkan sebagai pengganti perdana menteri, Dr Mahathir berkata tradisi parti perlu diikuti sekiranya Abdullah meletakkan jawatan.

"Parti punya tradisi bahawa apabila ketua letak jawatan ataupun undur maka timbalan akan ambil alih," katanya.

'Saya akan tegur'

Kepada soalan sama ada beliau menyokong Najib sebagai pengganti, Dr Mahathir berkata: "Ini bukan soal saya menyokong Najib atau tidak, ini soal tradisi."

Dr Mahathir berkata untuk kebaikan, Abdullah mesti meletak jawatan sekarang.

"Tetapi jika beliau menunggu sehingga perhimpunan agung Umno, kita tidak tahu apa yang orang ini (perwakilan) akan katakan.

"Akan ada sesetengah kenyataan yang biadap, mereka kata kenapa anda tidak mahu berundur, anda tahu andalah orangnya (yang menjadi punca), segala jenis tuduhan yang kurang menyenangkan... menuding jari dalam perhimpunan agung Umno," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau akan terus memberi kritikan dan teguran kepada pemimpin Umno tanpa mengira siapa yang menggantikan Abdullah.

"Kalau ada benda-benda yang tidak kena yang dilakukan, saya bebas, saya berpendapat saya berhak untuk membuat teguran. Kalau siapa yang naik pun, kalau saya nampak akan merosakkan parti, saya akan tegur," katanya.

No comments: