Tuesday, April 22, 2008

Komputer baru, komponen usang

Sindiket penipuan dikesan menggunakan taktik licik dengan menjadikan
karnival jualan komputer yang berlangsung baru-baru ini, untuk
melambakkan komputer riba terpakai sebelum menjualnya kepada orang
ramai sebagai komputer baru menggunakan jenama terkemuka.

Kegiatan sindiket terbabit terbongkar apabila syarikat pengeluar
komputer terkemuka itu menerima banyak aduan daripada pengguna yang
mendapati komputer riba baru mereka menghadapi masalah selepas
membelinya di ibu negara.

Harian Metro difahamkan, hasil siasatan syarikat pengeluar komputer
terkemuka itu mendapati, ada sindiket membawa masuk komputer riba
terpakai dari Amerika Syarikat ke negara ini dan menjualnya sebagai
komputer baru dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 seunit.

Wakil syarikat pengeluar komputer terkemuka itu juga ketika
dihubungi mengesahkan siasatan mereka setakat ini mendapati sindiket
terbabit turut menggunakan komponen tidak mengikut spesifikasi
sebenar model komputer riba yang dijual kepada orang ramai.

Menurutnya, mangsa kebanyakan pelajar institut pengajian tinggi yang
membeli komputer riba itu datang ke pusat perkhidmatan syarikat
berkenaan bagi mendapatkan jaminan pembaikan selepas peralatan
berkenaan menghadapi kerosakan, hanya beberapa hari selepas dibeli.

Katanya, siasatan bahagian perkhidmatan pelanggan mendapati komponen
dalam komputer riba berkenaan tidak mengikut spesifikasi sebenar
bagi model berkenaan selain komponennya juga tidak dikeluarkan
syarikat itu.

"Kami juga melakukan siasatan di tapak karnival di beberapa negeri
termasuk di ibu negara dan mendapati sindiket terbabit menjadikan
lokasi berkenaan sebagai pusat lambakan komputer riba dengan
menggunakan jenama komputer riba terkenal milik syarikat kami.

"Mereka juga menggunakan kad jaminan, tetapi tidak mahu
bertanggungjawab apabila komputer riba dijual menghadapi masalah dan
ini menyebabkan pembeli datang ke bahagian perkhidmatan pelanggan
kami untuk membuat tuntutan sedangkan kami tidak pernah menjual
komputer riba berkenaan," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan pengguna yang menghadapi masalah penipuan
itu disaran membuat laporan polis serta merujuk kepada Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan
lanjut.

"Pengguna juga boleh datang ke pusat perkhidmatan kami untuk
pemeriksaan komputer riba yang dibeli kerana kami akan membuat
siasatan sama ada ia tulen atau sudah diubah suai.

"Syarikat juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang
terhadap sindiket berkenaan bagi menjamin kepentingan pengguna
kerana sindiket itu menggunakan jenama syarikat kami bagi
memperdayakan orang ramai," katanya.

Seorang pembeli, S Naraya, 33, berkata dia membeli komputer riba
jenama terkemuka itu ketika mengunjungi Pesta Jualan Komputer di ibu
negara, 13 April lalu.

"Sebaik tiba di rumah saya dapati komputer berkenaan menghadapi
masalah kerana tidak dapat berfungsi.

"Esoknya saya ke pesta itu semula, malangnya ia sudah berakhir dan
saya menghubungi syarikat penjual komputer itu untuk mendapatkan
jaminan, tetapi mereka enggan bertanggungjawab.

"Jadi saya ke pusat perkhidmatan pelanggan syarikat pengeluar
komputer terkemuka ini sebelum dimaklumkan model komputer riba yang
saya beli di pesta berkenaan tidak mengikut spesifikasi sebenar
menyebabkan ia menghadapi masalah dan kerosakan," katanya.

Naraya yang juga jurutera berkata, lebih mengejutkannya apabila
syarikat pengeluar komputer terkemuka itu memaklumkan mereka tidak
pernah menjual model komputer berkenaan dan menyarankannya membuat
laporan polis.

"Saya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 16 April lalu
kerana ditipu sindiket itu," katanya.

Wee Fei Soo, 24, pula berkata komputer riba yang dibelinya di pesta
berkenaan di ibu negara juga menghadapi masalah menyebabkan dia
segera merujuk ke pusat perkhidmatan syarikat pengeluar komputer itu.

"Saya dimaklumkan syarikat berkenaan tidak pernah mengeluar atau
menjual model komputer riba jenis itu dan komponen yang digunakan
juga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Wakil pengeluar komputer terkemuka itu juga memaklumkan komputer
riba dikeluarkan syarikat berkenaan sentiasa mempunyai pelekat
keselamatan Sirim.

"Saya dapati komputer yang dibeli di pesta berkenaan tidak ada
pelekat Sirim selain kotaknya juga tidak sama dengan komputer yang
dikeluarkan syarikat komputer terkemuka itu," katanya.

N Maran, 36, pula memberitahu dia terkejut apabila dimaklumkan
komputer riba yang dibelinya di karnival komputer di ibu kota, baru-
baru ini tidak mengikut spesifikasi sebenar.

"Kita pembeli hanya melihat jenama, tapi saya tidak menyangka ada
sindiket mengambil kesempatan menipu orang ramai di pesta itu.

"Saya juga membuat laporan polis dan merujuk kes ini kepada Tuntutan
Tribunal Pengguna.

"Saya berharap orang ramai jangan terpedaya dengan jualan murah di
pesta berkenaan kerana mungkin ada sindiket yang cuba mengambil
kesempatan menjual komputer terpakai dan mendakwa ia barang baru,"
katanya.

sumber: PPIMalaysia

No comments: