Saturday, April 12, 2008

Masyarakat Melayu digesa agar tidak berbelanja di luar kemampuan

Kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dijangka akan turut menjejas Singapura. Rakyat Singapura sudah dapat merasakan tempiasannya, dengan kadar inflasi yang tinggi.

Dalam menyesuaikan diri dan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, warga Singapura digesa agar lebih hemah berbelanja. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.

Perincian lanjut dalam Titik Tolak, bersama saya Zauwiyah Majid.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga baru-baru ini menggesa keluarga Melayu yang berbelanja di luar kemampuan agar lebih hemah berbelanja. Warga Singapura perlu menyesuaikan tabiat berbelanja mengikut kadar kemampuan mereka.

Dalam ucapannya di majlis jamuan sempena ulang tahun ke-60 Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) Jumaat lalu, antara lain, Encik Lee berkata, ada yang boros mencantikkan rumah mereka dengan mengambil pinjaman ubah suai rumah atau membeli set TV besar melalui skim sewa beli.

Mereka yang mempunyai masalah paling serius adalah golongan yang membeli rumah besar di luar kemampuan mereka. Mereka akan mengambil gadai janji yang kemudiannya tidak dapat dilunaskan.

Apakah masyarakat Melayu memang mudah tertarik dengan skim-skim sedemikian?

Ketika diminta pandangannya tentang hal ini, Pengamat Sosial, Encik Md Ikhlash Abdullah berkata

Ada segelintir dari masyarakat kita yang belanja di luar kemampuan. Saya rasa, kerana tanpa disedari terdedah peluang dan juga ruang, termasuk kesempatan, untuk kita berbelanja lebih daripada kemampuan kita. Sebagai contoh, kita tengok dewasa ini, bagaimana strategi-strategi syarikat-syarikat yang besar dalam perniagaan mempromosi jenama barangan. Ye lah, dengan pelbagai skim pinjaman yang mudah. Antaranya, skim pakai dulu bayar kemudian. Skim ini termasuk barangan perabot, elektronik dan tidak kurang hingga ke pemilikan sebuah kereta. Jadi masyarakat kita juga dikenali sebagai golongan yang mudah terpengaruh, tertarik dengan promosi atau pun skim sebegini. Akhirnya, tanpa disedari, ramai yang terjerat atau pun terjerut dengan hutang piutang bulanan mereka ini.

Biarpun sikap berbelanja di luar kemampuan ini adalah sesuatu yang menjejas keluarga setiap kaum, ramai juga adalah keluarga Melayu. Ia adalah seseuatu yang berlaku dan perlu ditangani. Sikap berjimat cermat haruslah menjadi tabiat yang diamalkan setiap keluarga. Puan Hasnah Masnod, surirumah dan ibu kepada tiga orang anak berusia antara 12 dengan 23 tahun, berpendapat

Rasa saya memang apa yang menteri kita beritahu itu memang benar. Sebab apa, apa yang tak perlu kita belanja, kita gunakan. Masa hadapan kita bila kita perlukan, kita dah tak ada persiapan. Kemudian, kita meminjam-minjam. Tapi kalau kita berbelanja setakat yang perlu, kemudian kelebihannya itu kita simpan untuk keperluan masa depan, itu menyenangkan kita dan keluaraga dan tidak menyusahkan orang lain lah.

Masyarakat kita turut digesa agar mempersiapkan diri dan keluarga untuk masa depan. Misalnya, melabur dalam pendidikan anak-anak dan mengetepikan simpanan bagi meniti usia senja.

Pengamat Sosial, Encik Md Ikhlash Abdullah menambah, ibu-bapa harus mendidik anak-anak dengan nilai-nilai asas seperti sikap jimat-cermat dan menabung.

Bagi saya amalan berjimat ini sememangnya sudah menjadi sikap setiap individu yang tahu akan erti dan nilai wang ringgit yang diperolehilah. Sama ada kita melabur dalam skim insurans pelajaran umpamanya atau sekadar mengamalkan menabung, amat dialu-alukanlah. Namun, ye lah, bagi saya, tidak semua yang dapat melakukan dek taraf kehidupan dan pendapatan setiap individu itulah. Dek alasan inilah, kita gagal membudayakan amalan menabung. Contohnya di rumah. Tapi dalam masalah ini, saya pula berpendapat, kita letak pada aspek menabung secara fizikal, yakni sebagai ibu-bapa, adalah lebih baik, mungkin boleh meletakkan atau memberikan setiap anak itu satu tabung. Jadi secara tidak langsung, kita sudah menyemai satu tanggungjawab yang baik ke atas diri anak-anak itu. Biarpun tanpa sebarang duit disimpan dalam tabung secara tetap. Tapi yang penting, anak-anak kita tahu erti berjimat dan menabung. Pada masa yang sama, ibu-bapa juga harus memainkan peranan yang pentinglah dalam menyemai tabiat sebegini dari usia anak tu seawall mungkinlah.

Puan Hasnah Masnod, surirumah dan ibu kepada tiga orang anak berusia antara 12 dengan 23 tahun, menambah, adalah penting bagi ibu-bapa untuk mendidik anak-anak tentang tabiat berjimat-cermat ini

Selalunya saya, apa yang anak saya suka, dia minta beli, tapi saya fikir apa sebenarnya keperluan untuk anak-anak saya. Misalnya, TV ada SCV, ada cerita bagus-bagus. Tapi saya beritahu, sebenarnya sebulan berapa? Bajet. Kemudian, ada tak selalu anak saya ada kat rumah? Pukul berapa dia nak tengok? Kata dia malam aje. Malam sahaja macam sebulan langganan dia hamper $38 tapi kalau tak ditonton selalu rugikan. Jadi, saya beritahu, itu tak perlu.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, adalah tidak wajar untuk berbelanja di luar kemampuan. Sebelum berbelanja, mungkin soalan yang boleh diajukan ialah apakah sesuatu perbelanjaan itu satu keperluan atau sekadar satu keinginan. Apakah anda akan mengamalkan sikap jimat cermat saudara?

Sekian Titik Tolak kali ini. Anda boleh memuat turunkan rancangan ini melalui khidmat podcast kami di www.rsi.sg/malay.
Zauwiyah Majid dari Radio Singapura Internasional mengucapkan Salam Hormat.

sumber: RSI

No comments: