Tuesday, April 29, 2008

Melayu bersatulah!

Melayu bersatulah! PDF Print E-mail
Posted by Raja Petra
Monday, 21 April 2008

Adakah saya ini anti-Melayu? Jawabnya tidak. Saya bukan anti-Melayu. Saya hanya anti-perkara yang karut marut.

DARI JELEBU

Slogan Melayu Bersatulah semakin bising dan bingar kedengaran. Apa sebenarnya makna dan tanda slogan ini? Pada hakikatnya slogan Melayu Bersatulah ini tidak memiliki apa-apa makna. Ini adalah slogan dan laungan yang kosong, sifar, zero dan zilch. Slogan Melayu Bersatu ini samalah tarafnya dengan agenda Melayu dan agenda Ketuanan Melayu.

Kalau perkataan b-o-t-o-l keluar dari mulut maka kita dapat tahu dan faham benda itu. Kalau bunyi t-e-l-o-r yang keluar maka kita dapat membayangkan benda itu. Tetapi M-e-l-a-y-u-b-e-r-s-s-t-u-l-a-h apa bendanya yang kita fahami dari bunyi ini. Kalau slogan ini satu konsep ianya wajib memiliki asas. Konsep ialah perkataan yang memiliki makna tetapi tidak dapat di pegang dan dilihat. Konsep bukan botol. Konsep seperti berbudi bahasa, kita dapat gambarkan makna dan kelakuan – berbudi bahasa - yang dicakupi oleh konsep ini.

Melayu bersatulah ini pasti bukan konsep. Melayu Bersatulah hanyalah satu ilusi, satu mimpi, satu khyalan, satu angan-angan dan satu karut yang terlalu marut. Kalau melihat kerja ilusi David Copperfeild dapat juga kita dihairan dan ditakjubkan. Slogan Melayu bersatulah ini tidak menghairankan langsung. Tidak ada yang menakjubkan. Hanya, kita berkemungkinan dapat terhibur dengan kumpulan-kumpulan lawak-lawak yang datang bersama-sama susuk-susuk yang sedang mengheboh-hebohkan slogan ini.

Melayu bersatu bukan konsep kerana tidak memiliki asas. Ia menjadi karut lagi marut kerana Melayu TIDAK PERNAH bersatu. Melayu TIDAK bersatu. Dan Melayu TIDAK AKAN bersatu. Melayu Bersatu adalah satu cerita dongeng yang sengaja di jaja oleh United Malay National Organisations.

Manusia bersatu bukan kerana bahasa. Manusia bersatu bukan kerana agama. Manusia bersatu bukan kerana warna kulit. Manusia bersatu bukan kerana negara. Manusia bersatu kerana kepentingan ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini untuk di fahami?

Memang betul pada awalnya manusia akan berkumpul dengan orang-orang yang sama bahasa, yang sama kulit, yang sama setempat atau sama agama. Ini menjadi asas awal untuk mereka mengenal dan berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Apa tujuan mereka berkumpul? Mereka berkumpul untuk mencari makan. Mencari makan ialah asas ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini untuk difahami?

Ekonomilah yang menjadikan asas untuk manusia berkumpul, berpasukan, berpersatuan, berparti atau bernegara. Manusia juga bertengkar, bertelagah, bergaduh dan berperang kerana ekonomi. Punca ekonomi ialah hakikat sejarah perjalanan tamadun manusia dari semenjak manusia mula merangkak, bangun, berjalan dan meninggalkan gua-gua batu di Kenya hingga ke hari ini. Sejarah manusia ialah sejarah mencari dan merebut peluang punca-punca ekonomi.

Kenapa susah sangat perkara ini untuk di fahami?

Orang Portugis, orang Belanda dan British datang ke Tanah Melayu dahulu bukan kerana gian hendak makan petai atau tempoyak. Mereka datang untuk mendapatkan bijih, emas, rempah rampai yang boleh mereka bawa pulang ke Eropah. Barang ini untuk diniagakan. Untuk mendapat untung. Ini ekonomi.

George Bush menyerang Iraq bukan kerana hendak melawat Makam Abu Nawas di Baghdad tetapi untuk mengambil telaga dan loji-loji minyak. Ini perebutan punca ekonomi.

Kalau masih ada yang tidak yakin bahawa seluruh hidup dan tamadun manusia hari ini berpunca dari ekonomi maka cuba tanya diri sendiri - kenapa selalu sangat timbul cakap-cakap tentang orang Cina di Malaysia lebih kaya dari orang Melayu. Atau orang India di Malaysia lebih banyak yang menjadi doktor dan peguam. Atau bangunan di bandar dan di pekan di Malaysia ini majoritinya di miliki oleh orang Cina. Semua kenyataan ini sering dianggap dan dilihat sebagai kenyataan ‘politik’ tetapi asas kenyataan ini ialah perebutan ekonomi.

Semua parti-parti politik yang wujud dalam dunia ini ditubuhkan untuk tujuan ekonomi. Individu-individu berkumpul dan berpayung di bawah parti politik kerana mahu mendapat dan memiliki sumber-sumber ekonomi.

Parti-parti politik mungkin berselindung di belakang warna kulit, di belakang bahasa atau di belakang agama. Semua ini bohong. Bahasa, warna kulit dan agama tidak dapat membeli beras. Yang dapat membeli beras ialah duit. Duit ialah ekonomi.

Bahasa, bangsa dan warna kulit digunakan kerana senang untuk dijadikan asas awal untuk berkumpul dan berpersatuan.

Agama? Agama digunakan sebagai asas parti politik kerana ia senang untuk dijadikan payung luas untuk berkumpul. Yahwe, Buddha, Jesus, atau Allah direkrut oleh parti-parti yang berasaskan agama bukan bermakna parti itu suci dan dapat berurus secara peribadi dengan Yang Maha Esa. Yahwe, Buddha, Jesus atau Allah TIDAK pernah mengiakan atau memberi ‘endorsement’ kepada iklan-iklan parti-parti politik ini. Nama-nama tuhan ini digunakan bertujuan untuk merebut peluang ekonomi. Yang membuat dasar parti politik ini bukan Yang Maha Esa tetapi manusia dan ahli-ahli parti politik. Yang Maha Esa tidak pernah mengiakan atau menidakkan manifesto dan program parti-parti ini.

Justeru bolehkah Melayu bersatu? Jawabnya tidak mungkin malah mustahil. Kemustahilan ini muncul kerana manusia Melayu walau pun kesemuanya bercakap Melayu, berkulit sawo matang menganut agama yang sama tetapi memiliki asas ekonomi yang berbeza-beza.

United Malay National Organisation adalah parti yang mewakili kelas feudal, kelas komprador, kelas birokrat kapitalis dan kelas borjuis nasionalis Melayu. Kelas-kelas kapitalis inilah yang menjadi asas ekonomi parti politik ini.

(Komprador adalah peniaga perantaraan di antara rakyat tempatan dengan kapitalis antarabangsa. Borjuis nasional adalah kaum pemodal tempatan. Birokrat kapitalis adalah individu yang menjadi pemodal melalui badan-bandan kerajaan i.e SEDC)

Parti Pas pula diwakili oleh borjuis kecil, tuan tanah kecil, peniaga kecil, kaum tani, tuan punya warung, nelayan, Tok Peraih, guru-guru sekolah, pensyarah kolej dan universiti, intelektual lokal dan agamawan lokal. Mereka merasa selesa dengan Pas kerana kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka akan dijaga dengan baik oleh parti ini.

Parti Keadilan Rakyat pula mewakili kumpulan yang seakan-akan sama asas ekonominya dengan Pas tetapi mereka tidak selesa dengan gaya hidup yang dibawa oleh Pas. Mereka lebih urban, lebih kosmopolitan dan memiliki pandangan dunia dan nafsu ekonomi yang luas berbanding dengan pengikut Pas.

Ada satu lagi kumpulan yang berpayung di bawah PKR – mereka ini adalah kumpulan peniaga yang memiliki nafsu besar tetapi telah dipinggirkan oleh United Malay National Organisations, atau perniagaan besar mereka terpelecok ketika berlakunya krisis ekonomi 1997. Mereka ingin mencari payung baru agar nafsu dan kepentingan ekonomi mereka dapat berkembang.

Lihatlah ketiga-tiga kumpulan Melayu ini tidak memiliki asas ekonomi yang sama. Malah kepentingan ekonomi mereka bertentangan sama sendiri. Bangsa, bahasa dan agama hanyalah kulitan untuk mencari sokongan dan mengolah persetujuan.

Masih tidak yakin lagi?

Kalau tidak yakin tentang asas-asas ekonomi parti-parti itu mari kita melihat ke dalam United Malay National Organisation sendiri. Parti politik yang 1000% berahlikan manusia Melayu tidak pernah bersatu malah sesudah pilihan raya 2008 ini mereka kelihatan sedang beramuk sesama sendiri. Amukan yang sedang berlaku hari ini berpunca dari perebutan punca-punca ekonomi.

Mahathir Muhamad mewakili komprador dan borjuis nasional yang selama 22 tahun ini telah kenyang dan montok. Apabila Abdullah Badawi masuk maka para komprador dan borjuis ini sedang di ketepikan kerana Abdullah sedang membawa susuk-susuk baru untuk menggantikan mereka. Dalam bahasa pasar Abdullah Badawi ada kroni baru dan kroni Mahathir dipinggirkan.

Amat jelas perebutan punca-punca ekonomi inilah yang menjadikan Mahathir melawan Abdullah dan hasilnya United Malay National Organisations bergaduh. Lima negeri yang di heboh-heboh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat bermakna lima punca ekonomi hilang. Ini tidak ada sangkut paut dengan agenda Melayu, ketuanan Melayu atau Bersatulah Melayu.

Orang Melayu di lima negeri ini tetap Melayu. Air Sungai Perak tetap mengalir ke laut di Bagan Datuk. Air Sungai Gombak tetap sampai ke Klang. Melayu di mana pun mereka berada akan terpaksa juga membayar tol kalau menggunakan Lebuh Raya PLUS. Justeru, ada kumpulan yang menuduh Abdullah Badawi lembik, ini hanyalah sebagai alasan di atas kehilangan punca-punca ekonomi mereka. Mereka mahu seorang pemimpin yang ‘keras’ untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka terus berkembang i.e untuk mereka terus mendapat kontrak.

Siapa pula Tengku Razaleigh?

Ku Li ini mewakili kelas birokrat lama dan kelas feudal Melayu. Kelas birokrat ini muncul ketika dasar Ekonomi Baru di perkenalkan. Ketika itu kelas ini berenang dan berpesta dengan harta kekayaan negara. Kelas feudal Melayu juga dapat menumpang semangkuk. Apabila Mahathir masuk kelas-kelas ini hampir pupus kerana banyak dari perbadanan negeri ini diswastakan oleh Mahathir untuk menjadikan mereka borjuis nasional dan komprador. Ada kelas feudal Melayu yang berubah wajah seperti keluarga feudal Negeri Sembilan, mereka bersalin kulit untuk menjadi borjuis nasional agar tidak tercicir.

Adakah saya ini anti-Melayu? Jawabnya tidak. Saya bukan anti-Melayu. Saya hanya anti-perkara yang karut-marut. Saya yakin hanya kepentingan ekonomi sahaja yang menyatukan umat manusia. Manusia berkumpul untuk kepentingan kelas ekonomi mereka. Pertembungan kepentingan kelas inilah yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang. Perebutan punca ekonomi ini sedang di kabur dan di propagandakan sebagai kepentingan bangsa, bahasa dan agama. Saya anti-sesiapa sahaja yang menjajakan perkara yang karut-marut.

Ambilan : Malaysiatoday

No comments: