Saturday, April 12, 2008

Param: Mahathir takut ke mahkamah

Apr 11, 08 12:53pm
kemaskini 6:35pm Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang menjelaskan versinya, dan membela dirinya, terhadap keterangan bekas ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang mendakwa beliau campur tangan dalam siasatan badan itu pada 1998.

Mantan perdana menteri pernah disapina untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2000 tetapi beliau enggan berbuat demikian, kata Datuk Param Cumaraswamy.

mahathir interview 080507"Memandangkan betapa seriusnya keterangan (Datuk Shafee Yahya) terhadapnya, Dr Mahathir boleh menawarkan diri untuk hadir membersihkan dirinya tetapi beliau tidak berbuat demikian," kata Param, bekas pegawai khas pemantauan kewibawaan sistem kehakiman di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Andaian yang tidak dapat dielakkan ialah beliau takut memberikan keterangan bersumpah di mahkamah undang-undang."

Jadi, tambah Param dalam satu kenyataan hari ini, tidak ada sebab Dr Mahathir merungut bahawa beliau "wajar diberikan peluang membela diri".

Mengulas surat Dr Mahathir dalam akhbar The Sun pada Selasa, Param berkata "beliau pernah ada peluang itu."

Dalam suratnya pada 8 April, mantan perdana menteri berkata:

"Saya bukan pihak yang terbabit dalam perbicaraan (kes kedua) Anwar. Jika saya ingin dituduh, saya sepatutnya diizinkan membela diri.

"Tetapi jelas sekali Shafee melihat perbicaraan Anwar sebagai satu peluang mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan nama baik saya."

Param juga mempertikaikan kertas siasatan berhubung perkara ini yang diserahkan kepada Peguam Negara waktu itu pada 15 Februari 2000.

"Ia tidak masuk akal," katanya, sambil menambah keterangan Shafee hanya direkodkan di mahkamah pada 12 Jun 2000.

"Kertas siasatan apakah yang diserahkan kepada Peguam Negara pada Februari 2000? ... boleh ia didedahkan kepada umum?" katanya lagi.

judiciary crisis forum 290907 paramMenurut laporan media lagi, kata Param, ketua polis negara berkata peguam negara Tan Sri Mohtar Abdullah telah memutuskan tidak ada kes terhadap Dr Mahathir.

"Memandangkan peguam negara yang sama pada November 2000 telah membersihkan nama ketua hakim negara waktu itu Tun Eusoff Chin daripada sebarang salah laku berhubung lawatannya ke New Zealand bersama peguam VK Lingam, keputusan Mohtar ketika pentadbiran Dr Mahathir kini masih boleh dipertikaikan," katanya.

Laporan media semalam juga melaporkan ketua pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri telah disiasat antara 1998 hingga 2001.

"Perkembangan ini membingungkan," katanya lagi.

"Ketua pengarah EPU itu kemudian dilantik sebagai gabenor Bank Negara pada September 1998 dan berkhidmat sehingga April 2000.

"Apakah (pelantikan) ini bemakna Malaysia mempunyai seorang gabenor bank pusat yang sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah?

"Apa telah jadi pada dasar Malaysia yang didakwa mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan selalunya telah dipastikan bersih oleh polis Cawangan Khas dan jabatan-jabatan lain sebelum dilantik?"

No comments: