Saturday, April 12, 2008

PAS: Wakil BN dipujuk lompat parti

Apr 9, 08 11:58am
Barisan pemimpin Pakatan Rakyat semakin menunjukkan keyakinannya - terbaru, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui anggota-anggota parlimen BN dipujuk menyertai pakatan pembangkang bagi mendirikan kerajaan pusat.

hadi awang 010807Sambil berharap usaha memujuk itu bebas daripada unsur rasuah atau penggunaan wang, ahli parlimen Marang itu berkata "kita harap tidak ada (tindakan) beli atau rasuah tetapi (anggota parlimen) BN menyertai kita."

Menurut Bernama lagi, Abdul Hadi berkata beliau tidak dapat menyatakan berapa lama masa yang akan diambil.

"Mungkin cepat daripada tempoh enam bulan, mungkin lama lagi," beliau dipetik sebagai berkata semalam selepas mengunjungi ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di pejabatnya.

Pembangkang memerlukan 30 kerusi lagi daripada 82 - sekarang PKR menguasai 31 kerusi, DAP (28) dan PAS (23) - untuk membentuk majoriti dua pertiga.

Hujung minggu lalu, kenyataan naib presiden PKR Azmin Ali bahawa kira-kira 30 ahli parlimen BN bersedia berpindah kepada parti pembangkang telah mengundang reaksi perdana menteri.

anwar ibrahimIsu ini mula menimbulkan minat dan pertanyaan ramai apabila penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau mengadakan rundingan dengan sejumlah anggota parlimen BN.

"Mereka datang dan mendekati kita," kata Anwar.

Bekas timbalan perdana menteri itu menambah, beliau telah bercakap dengan "sejumlah" wakil rakyat BN dan memaklumkan bahawa sokongan mereka tidak akan diberikan ganjaran.

"Jika mereka mahu menukar parti dengan sejumlah harga, nampaknya mereka telah memilih parti yang salah," katanya.

Tambahnya, mereka dialu-alukan beralih parti "jika mereka menerima agenda kita".

Hujung minggu lalu, Anwar menyatakan kesediaannya untuk berkunjung ke Malaysia timur - beliau selama ini berkata sedang memujuk wakil-wakil BN dari Sabah dan Sarawak untuk meninggalkan parti pemerintah tersebut.

sumber: Malaysiakini

No comments: