Saturday, April 12, 2008

Tergiur Berbelanja Menimbul Bahana

Written by Razak Ismail
Thursday, 19 July 2007

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kain-kain rentang `Jualan Murah, Jualan Penghabisan Stok, Jualan Hebat, Jualan Harga Runtuh dan Jualan Merdeka, kini sudah banyak menghiasi gedung-gedung membeli-belah seluruh negara, berkibar-kibaran bagaikan satu gamit-gamitan.

Bukan itu sahaja, malah di dada akhbar dan majalah turut terpapar bermacam-macam gimik jualan. Pelbagai bentuk promosi ini sudah pasti menggiurkan, apatah lagi apabila dompet kembung sedikit berkat kenaikan gaji dan imbuhan yang bakal dinikmati oleh lebih sejuta kakitangan awam bermula Julai ini.

Pekeliling kenaikan gaji mencatatkan golongan Pengurusan Tertinggi (VU7-VU1,VK7-VK5) menerima kenaikan 7.5 peratus, Pengurusan dan Profesional (Gred 41-54) menerima kenaikan 15 peratus, Sokongan I (Gred 17-40) sebanyak 25 peratus manakala Sokongan II (Gred 1-16) menerima sebanyak 35 peratus.

Maknanya, sebagai contoh, kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan II yang menikmati gaji pokok RM1,000 sebulan, akan menerima RM1,350 selepas kenaikan gaji.

Antara faktor utama Kerajaan bersetuju untuk memberi kenaikan gaji ini adalah bagi menarik dan mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.

MANUSIA DENGAN PELBAGAI KEINGINAN

Demikian hasrat kerajaan. Namun, hakikatnya, manusia memiliki pelbagai keinginan. Dengan kenaikan gaji, ada yang merancang untuk melakukan sesuatu yang positif seperti menyambung pelajaran sebagai pelaburan di masa depan demi membentuk modal insan yang berkualiti.

Malah ada juga yang berangan-angan untuk mendapatkan sesuatu yang telah lama diidam-idamkan. Lantas bila kesempatan sebegini muncul, seseorang itu sering tidak mampu mengawal nafsu sehingga memudaratkan diri sendiri, dengan berbelanja di luar kemampuan sebenar, apatah lagi apabila mempunyai kemudahan kad kredit.

Berbelanja sekadarnya mungkin patut kerana ia naluri dan keperluan hidup. Tetapi jika naluri berlebihan belanja dan belian mendadak mengikut gerak hati tidak dibendung, sudah pasti pola perbelanjaan seseorang akan terjejas.

Kesannya, selain memudaratkan diri sendiri, keluarga juga boleh menjadi porak poranda kerana keghairahan berbelanja menggunakan kad kredit itu boleh menjerumuskan seseorang ke dalam perangkap hutang.

Keadaan boleh menjadi lebih parah jika seseorang itu diseret ke mahkamah dan diisytiharkan muflis akibat kegagalan melunaskan hutang tadi.

BEBAN KAD KREDIT

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 8.8 juta kad kredit dikeluarkan oleh institusi kewangan di seluruh negara dengan purata setiap pemilik mempunyai tiga kad kredit.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa yang ditetapkan. Selebihnya pula gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (Statistik Oktober 2006).

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diisytiharkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit yang kebanyakannya juga adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Dengan kata lain, di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya untuk mengelak diri terjebak dengan masalah hutang.

Fenomena penggunaan kad kredit yang melanda sekarang mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Justeru, setiap orang yang ingin memiliki kad kredit perlu mempunyai disiplin dan tahu kemampuan perbelanjaan masing-masing.

Selagi ia tidak disalahgunakan selagi itu kad kredit akan menjadi rakan kemudahan pembayaran yang baik.

Bunyinya agak mudah. Tetapi, cuba bayangkan pula senario di mana ada orang yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana gagal melangsaikan hutang.

TARIKAN MEMBELI

Semuanya berpunca daripada keghairahan membeli-belah sehingga semacam menjadi satu budaya atau ritual, terutama di kalangan warga kota dan bandar-bandar besar.

Mana tidaknya. Pusat membeli-belah menjerat perhatian pengguna dengan bentuk keselesaan yang merangkumi sistem hawa dingin dan sistem muzik yang diharap dapat "menenteramkan" dan menghibur hati si-pembeli.

Malah ia menjanjikan pengguna dengan pelbagai muslihat jualan seperti potongan harga 50 atau 70 peratus, hadiah percuma, beli satu dapat satu serta membeli dan melancong percuma.

Jualan penghabisan stok, jualan musim perayaan dan jualan hujung tahun diadakan sepanjang tahun. Gawat atau tidak, ia terus diadakan. Ekonomi merudum atau tidak, orang ramai tetap dipujuk supaya berbelanja mewah.

Mengimbas tahun-tahun 70-an, jika seseorang ingin membeli barang secara berhutang, ia mungkin berbisik kepada empunya kedai supaya memasukkan akaun ke dalam buku hutang.

Kini, sistem ekonomi yang mendewa-dewakan tabiat membeli begitu kuat pengaruhnya hinggakan konsep berhutang iaitu membeli dahulu dan bayar kemudian, menjadi satu amalan hidup moden yang penuh glamor.

KEMAMPUAN KAD KREDIT

Jika seseorang menarik keluar kad kredit dari dompet, tanggapan pertama orang yang melihat ialah pemilik kad itu berkedudukan dan bertaraf ekonomi tinggi.

Apatah lagi jika kad yang dihulurkan berlambangkan American Express atau yang diberi status Gold atau Platinum yang mempunyai had kredit yang tinggi.

Teknologi maklumat yang wujud dewasa ini melicinkan lagi proses penggunaan kad kredit dan seterusnya menyuburkan budaya membeli-belah.

Keselesaan yang selalu dicanang-canangkan dengan penggunaan kad kredit ialah keupayaan pemiliknya untuk membeli-belah di mana jua.

Promosi gaya hidup berhutang ini jelas kelihatan di gedung-gedung perniagaan besar, butik, hotel bertaraf antarabangsa, restoran dan kelab malam eksklusif yang memaparkan gambar penerimaan kad kredit di pintu masuk.

Bukan itu sahaja, syarikat pengeluar kad kredit juga memancing dan menggoda pengguna dengan menawarkan diskaun terhadap barangan dan perkhidmatan di kedai-kedai yang mempunyai rangkaian kerjasama dagangan dengan syarikat pengeluar kad.

CABARAN PENGGUNA

Kecanggihan strategi pemasaran barangan dan perkhidmatan juga menguji kuasa membeli pengguna. Mengambil kesempatan daripada kedahagaan pengguna terhadap barangan baru, para pengiklan dan pekedai merancakkan lagi usaha untuk menjadikan pengguna ketagih dengan tabiat membeli.

Budaya kesetiaan jenama sering diiklan dan ditonjolkan supaya ia sebati dalam ingatan pengguna. Akibatnya, pengguna bukan sahaja terdorong untuk berbelanja menjangkaui kemampuan, malah menyebabkan mereka kurang berkeupayaan membuat pilihan yang bijak.

Gara-gara tergiur, sering barang-barang yang dibeli tidak digunakan. Sebaliknya, ia menghidupkan suatu budaya membazir yang membahayakan dan merugikan.

Semua peniaga mahu pengguna terus berbelanja besar supaya mereka dapat mengaut keuntungan yang berlebihan.

PANDUAN HEMAH BERBELANJA

Sememangnya, kita sedar bahawa gejala kad kredit menjadikan manusia sebuah masyarakat yang gemar berhutang dan meniru gaya hidup yang lebih tinggi daripada kemampuan.

Godaan pusat membeli-belah dan "gian" pembeli untuk membeli, jika tidak terkawal, akan hanya mewujudkan satu bentuk masyarakat yang bukan sahaja memuja kebendaan, malah membazir dan riak.

Justeru, sama-sama kita sematkan dalam hati beberapa panduan yang boleh membantu kita mengawal diri semasa berbelanja baik menggunakan wang mahupun kad kredit:

+ Hadkan jumlah kad kredit dan tentukan sendiri had perbelanjaan bagi setiap kad yang kita miliki;

+ Tinjau dahulu harga barangan sebelum membeli. Ini membolehkan kita membuat perbandingan harga yang ditawarkan;

+ Ketahuilah keperluan kita. Senaraikan nama dan harga lebih kurang barang-barang yang hendak dibeli. Ini dapat mengekang nafsu berbelanja;

+ Jika kita tidak boleh mengawal diri semasa membeli-belah, seelok-eloknya bawalah teman yang boleh mengawal kita untuk membuat pilihan yang bijak;

+ Gunakan bakul jika barang yang hendak dibeli tidak banyak. Elak daripada menggunakan troli kerana ia memancing kita untuk membeli yang bukan-bukan;

+ Pastikan barang keperluan bulanan dibeli mencukupi bagi mengelakkan selalu ke pasaraya yang akan menjejaskan jadual belanja;

+ Bagi mengelakkan diri kita `tergoda', usah berlegar-legar di tempat barang-barang yang kita tidak perlukan. Menghala terus ke tempat barang-barang yang diperlukan;

+ Catatkan setiap perbelanjaan.

Hakikatnya, hemat berbelanja akan menjadikan kita pembeli yang bijak, berekonomi, beretika dan berperibadi.


Oleh : Rosliwaty Ramly

-- BERNAMA

No comments: