Saturday, April 12, 2008

Tewas 8 Mac: Salahkan pengerusi BN

Muda Mohd Noor | Apr 11, 08 3:26pm
kemaskini 4:45pm Seorang ketua bahagian Umno di Negeri Sembilan menyarankan, pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil tindakan kepada semua pengerusi BN negeri ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Saranan itu dibuat, tambah ketua bahagian Seremban, kerana merekalah yang bertanggungjawab memilih senarai calon BN baru-baru ini.

"Persoalannya adakah Abdullah berani mengambil tindakan ke atas pengerusi BN di negeri-negeri tersebut.

polling day 080308 bn pondok panas puteri umno"Kerana perdana menteri memerlukan sokongan pengerusi BN negeri untuk mengukuhkan kedudukannya," kata Datuk Ishak Ismail ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebelumnya, kira-kira jam 11 pagi tadi, Ishak mengulas perkara yang sama di sidang medianya di Seremban.

Ishak mendakwa, pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan telah menggunakan kuasanya untuk memilih calon BN mengikut kehendak hatinya.

"Beliau telah memilih calon yang disukainya sahaja dan menolak senarai calon yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian.

"Sebab itu beberapa calon yang menang seperti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Bibi Sharliza Khalid telah digugurkan dan digantikan dengan orang lain," katanya.

Ishak sendiri telah digugurkan daripada mempertahankan kerusi negeri Lenggeng walaupun berjaya menguasainya selama tiga penggal.

Ishak berkata, Mohamad menggugurkan calon yang tidak selari dengannya kerana menteri besar itu mempunyai agenda politik peribadi.

ishak ismail and umno negeri sembilan azman hassan grafittiKatanya, menteri besar telah menjadikan Umno sebagai milik peribadi dan bukannya hak orang Umno dan Melayu.

"Mohamad terlalu seronok jika orang mencium tangannya dan mendabik dada seolah-olah menjadi orang yang paling berkuasa di Negeri Sembilan," katanya lagi.

Ishak juga mengulas kritikan-kritikan yang dilemparkan oleh ahli-ahli Umno terhadap Abdullah sebagai punca utama kekalahan Umno dan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, Abdullah perlu menerima hakikat bahawa kelemahan kepimpinan Umno di peringkat atasan menyebabkan parti terpukul teruk pada 8 Mac.

"Ahli sendiri tidak berani menegur pemimpin kerana bimbang masa depan politik terjejas dan akibatnya mereka hanya menjadi pak turut sahaja," katanya.

Ishak juga menjelaskan Umno bahagian Seremban sedia mengadakan mesyuarat khas (EGM) jika majoriti ahli mahu berbuat demikian.

sumber: Malaysiakini

No comments: