Friday, May 23, 2008

Adun BN habiskan 90.1% peruntukan dalam masa dua bulan - MB

Salmiyah Harun
Fri | May 23, 08 | 4:29:24 pm MYT

SHAH ALAM, 23 Mei (Hrkh) - Setiap wakil rakyat kerajaan BN Selangor diberi peruntukan tahunan sebanyak RM500,000 untuk kawasan masing-masing, namun apa yang menghairankan angka perbelanjaan setiap Dun menunjukkan jumlah yang sama.

ImageMenteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikaikan jumlah perbelanjaan setiap wakil rakyat BN, di antara RM492,800 dan RM529,800.

Beliau turut menyebut 54 Dun telah menggunakan peruntukan tahunan itu dalam tempoh yang singkat sebelum Mac 2008.

Menurut Khalid, di antara Dun yang membelanjakan sehingga RM529,800 ia ialah, Sri Setia, Kota Anggerik, Seri Andalas, Sementa, Sabak, dan Sungai Panjang.

Tambahnya, Dun yang membelanjakan sebanyak RM492,800 pula antaranya ialah Subang Jaya, Pelabuhan Kelang, Batu Caves, Pandan Maran, Seri Pinang, Lembah Jaya, Dusun Tua, Sepang, Dengkil, Ulu Selangor, Ulu Bernam, dan Sekinchan.

Katanya, Seri Kembangan, Serdang, Gombak Setia, Hulu Kelang, Taman Templer, Gombak, Kajang, Bangi, Chempaka, Hulu Langat, Bukit Antarabangsa, adalah antara yang telah membelanjakan kesemua peruntukan itu.

"Saya pun hairan, mengapa angka-angka peruntukan ini sama," celahnya semasa menjawab soalan yang dikemukakan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dalam sesi soal jawab pagi tadi.

ImageKhalid juga memberitahu, jumlah keseluruhan peruntukan yang dibelanjakan oleh wakil rakyat BN itu kira-kira RM26.6 juta dan bakinya sehingga akhir Mac 2008 sebanyak RM2juta.

"Dari segi peratusan, sebanyak 90.16 peratus daripada peruntukan telah dibelanjakan," katanya.

Bagaimanapun, Khalid turut mempertikaikan Speaker Dewan Undangan Negeri yang bukan Adun telah membelanjakan RM600,000.

Justeru, beliau berkata, perkara itu harus dibincangkan di bawah Jawatankuasa Terpilih Akauntabiliti supaya dapat belajar bersama-sama bagaimana kegunaan wang itu dibelanjakan.

"Kita kena ambil serius tentang saranan Tuanku Sultan yang meminta kita berbelanja secara hemat dan berjimat demi masa depan rakyat Selangor," katanya. - mns

No comments: