Wednesday, May 21, 2008

Analisis: Peluang terbuka untuk Anwar?

Oleh Darwis Said, Berita Harian Singapura
Rabu, 21 Mei 2008

KEPUTUSAN Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan Umno memang menggemparkan. Mungkin ia di luar jangkaan ramai. Namun, ia bukan satu kejutan besar bagi saya.

Ini memandangkan kecaman demi kecaman yang pernah dilemparkan beliau ke arah Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, atau 'Pak Lah', sejak beberapa tahun ini.

Kecaman itu semakin meluap-luap selepas keputusan lemah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Para pemerhati politik menyifatkan undangan Dr Mahathir mengajak sama beberapa anggota Umno lain mengikut jejaknya itu sebagai langkah melemahkan lagi kedudukan Pak Lah.

Pengamat politik bebas dan pengarah Eksekutif Institut Pembangunan dan Kajian Sosioekonomi (Sedar) Malaysia, Khoo Kay Peng, dalam laman blognya 'Straight Talk', berkata ia mungkin usaha terakhirnya mendapatkan sokongan ke arah matlamat itu.

Tapi, apakah ia benar-benar berkesan dalam rancangannya 'menggulingkan' Pak Lah dan 'membaharui' Umno - parti komponen terbesar BN?

Setakat ini, ada beberapa anggota Umno yang menyatakan kesediaan mereka mengikuti jejak mantan perdana menteri Malaysia itu.

Namun, sumber-sumber juga berkata ramai yang menolak cadangannya itu dan berikrar setia kepada Pak Lah.

Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Dr Hussin Mutalib, berkata Dr Mahathir berharap taktik 'berita menggemparkan' mengenai keputusannya untuk berundur daripada Umno boleh memaksa pemimpin dan anggota Umno yang berpihak kepadanya bertindak serius untuk menangani masalah dalaman parti itu, khususnya perihal kedudukan Pak Lah.

Namun, gesaan Dr Mahathir agar Pak Lah meletakkan jawatan sebelum ini 'belum mampu menghasilkan tsunami besar yang boleh menghanyutkan perdana menteri itu ke tepian', kata Khoo.

Bagaimanapun, kali ini agak sukar ditentukan kesannya.

'Walaupun Pak Lah kelihatannya cuba mengecilkan isu pengunduran itu, hakikatnya beliau kini menghadapi masalah lebih besar,' kata Dr Hussin.

Saya akur dengan pandangan itu.

Sedang Umno mungkin lebih selesa tanpa Dr Mahathir, masa depan Pak Lah bukan sahaja akan bergantung kepada kekuatan suara dan tindakan penyokong Dr Mahathir dalam Umno.

Ia juga akan bergantung kepada tindak balas Pakatan Rakyat - pakatan campuran tiga parti pembangkang utama Malaysia - dan keupayaan mereka mengambil kesempatan keadaan goyah Umno ketika ini untuk mengorak langkah ke arah pembentukan kerajaan alternatif pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita tunggu September ini.

2 comments:

analisis peluang said...

Blog yg bagus.... Semoga sukses....

analisis peluang said...

terimakasih atas informasi "Analisis: Peluang terbuka untuk Anwar?"