Tuesday, May 27, 2008

'Belum mati, sudah tidak dikenang'

Dari Malaysiakini
Muda Mohd Noor | May 27, 08 6:24pm

Kira-kira 300 penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut kepulangan beliau dari Jepun di lapangan terbang Subang petang tadi.

Kumpulan penyokong itu termasuklah 125 orang ketua dan setiausaha cawangan Umno dari parlimen Jerlun yang kini diwakili oleh anaknya, Datuk Mukhriz. Turut serta, ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Mereka datang menaiki tiga buah bas sekolah dan bertolak kira-kira jam 9.30 pagi tadi dari pekan Jerlun.

Mereka turut membawa kain rentang yang berbunyi "Tun Mahathir kita tetap bersamamu", "Selamat pulang pejuang bangsaku" dan "Berani berjuang untuk negara, agama dan bangsa".

Beliau pulang dari Tokyo selepas menghadiri persidangan ekonomi Nikkei.

Dr Mahathir berucap selama lima minit kepada para penyokongnya dari dalam kereta yang dinaikinya.

Dalam ucapannya, selepas menimbulkan kegemparan apabila meninggalkan Umno pada 19 Mei lalu, mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi "takut kepada Singapura".

Mantan perdana menteri dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Pulau Batu Puteh milik kerajaan Singapura.

Katanya, Abdullah lebih takut kepada republik tersebut daripada ahli-ahli Umno sendiri.

"Apalah nak jadi dengan pemimpin macam ni," katanya, disambut dengan laungan "hidup Tun".

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah seorang yang tidak mengenang budi dan tidak mengikut pepatah Melayu "hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

"(Saya) ini tak mati lagi, sudah tidak dikenang.

"Sepatutnya saya tidak beri Abdullah masuk Umno (baru) tetapi saya bagi dia masuk balik," katanya, merujuk penyertaan kembali ahli parlimen Kepala Batas selepas Umno diharamkan pada 1988.

Dr Mahathir berkata, Umno sekarang berjuang bukan untuk ahli, sebaliknya untuk mengekalkan Abdullah.

"Kononnya ahli yang tidak setia kepada Abdullah, tidak setia kepada parti. Dia lupa semasa saya menjadi perdana menteri, dia tidak setia kepada saya.

"(Tetapi) saya membuat (Abdullah) supaya dia tidak kelihatan tidak setia. Dia bertanding naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya presiden," kata mantan presiden Umno lagi.

Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, beliau tidak marah kepada bekas timbalannya dan tindakannya meninggalkan Umno bukanlah kerana tekanan.

Sebaliknya, Abdullah tidak lagi mempertahankan Umno, Melayu dan negara.

Mengulas sambutan terhadapnya hari ini, Dr Mahathir berkata, tiada perbezaannya semasa beliau dalam Umno dengan sekarang.

"Kalau saya tidak silap, dulu semasa saya dalam Umno sambutan macam ini juga.

"Sebab itu tidak ada beza saya jadi ahli Umno atau tidak ahli Umno," katanya lagi.

No comments: