Thursday, May 22, 2008

BPR panggil Eusoff, Lingam

Oleh Norfatimah Ahmad dan Amin Ridzuan Ishak

Keterangan beberapa individu berkait percutian bekas hakim, peguam turut diambil keterangan

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenal pasti beberapa individu untuk dipanggil memberi keterangan berhubung percutian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dengan peguam, Datuk VK Lingam ke New Zealand selepas siasatan kes itu diarah dibuka semula, kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah I BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata individu terbabit dikenal pasti berdasarkan penemuan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan BPR akan memanggil Mohd Eusoff dan Lingam serta keluarga masing-masing untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dalam masa terdekat.

"Beberapa individu itu akan dipanggil untuk mendapatkan fakta baru bagi melengkapkan bukti yang sebelum ini tidak diperoleh BPR, selain mengukuhkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut," katanya pada Seminar Pencegahan Rasuah dan Jenayah anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini semalam.

Abu Kassim mengulas arahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kelmarin, supaya BPR membuka semula siasatan berhubung percutian Mohd Eusoff dan Lingam bersama keluarga masing-masing ke New Zealand pada 1994.

Arahan itu dikeluarkan selepas suruhanjaya berkenaan dalam laporannya yang diumumkan Jumaat lalu, antara lain mencadangkan BPR secara khusus meneruskan siasatan kes percutian bersama Mohd Eusoff dan Lingam yang ditutup pada 1988 kerana ketiadaan bukti.

Suruhanjaya itu turut mencadangkan BPR menyiasat beberapa hakim yang dikatakan menerima hadiah daripada Lingam, termasuk hubungan baiknya dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Abu Kassim berkata, pihaknya sedang meneliti laporan suruhanjaya itu khusus berkaitan percutian Lingam dan Mohd Eusoff untuk mengesan sebarang fakta baru bagi membantu melengkapkan siasatan.

"Kita akan memberi perhatian khusus kepada sebarang keterangan yang boleh membantu menghasilkan kertas siasatan yang kukuh. Mungkin ada perkara yang dilaporkan suruhanjaya tidak ada dalam laporan siasatan kami. Itu yang kami hendak lihat," katanya.

No comments: