Saturday, May 24, 2008

Bukan Batu Puteh saja, maruah juga lama digadai

Abdul Halim Mohd Rashid

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Hrkh) - Bukan Pulau Batu Puteh sahaja yang terlepas kepada Singapura malah maruah dan kedaulatan negara ini juga telah lama tergadai kepada pulau itu, kata Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

"Umno tidak perlu lagi bercakap mengenai kedaulatan negara, maruah negara, hak istimewa Melayu, Dasar Ekonomi Baru atau apa sahaja. Hampir kesemuanya telah dipersembahkan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada konco-konco Lee Kuan Yew," kata beliau ketika diminta menngulas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan pulau itu adalah milik Singapura.

Sebelum ini, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kerajaan BN telah menggadaikan maruah dan kedaulatan negara kepada Singapura dengan pembatalan jambatan bengkok dan pembukaan wilayah Malaysia kepada pulau sempit itu di Wilayah Pembangunan Iskandar.

"Kalau Pulau Batu Puteh direntap oleh keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), maruah dan kedaulatan negara ini dipersembahkan sendiri oleh kerajaan Barisan Nasional kepada Malaysia.

Gadai maruah

"Keputusan mahkamah kita hormati. Tetapi bolehkah kita hormati keputusan membatalkan pembinaan jambatan bengkok yang sekaligus merupakan penyerahan maruah dan kedaulatan negara kepada Singapura?" beliau mempersoalkan.

Tidak ada siapa pun atau mana-mana mahkamah pun yang menyatakan Malaysia tidak berhak membina jambatan itu, tetapi kerajaan Umno dan BN telah membatalkannya kerana takut berhadapan dengan tekanan Singapura.

"Walaupun kita menghormati keputusannya, kita masih lagi berhak untuk merasa tidak puas hati kepada keputusan ICJ yang menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura semata-mata kerana surat Penolong Setiausaha kerajaan Johor pada 1953 kepada Singapura yang tidak menuntut hak milik ke atas pulau itu dan kesilapan kerajaan Malaysia yang tidak tidak berbuat apa-apa untuk menunjukkan haknya ke atas pulau itu selama lebih 100 tahun. Sedangkan, kita baru 50 tahun merdeka dan Singapura pula pernah menjadi sebahagian dari Malaysia walaupun keluar pada tahun 1965.

Paling malang

"Tetapi, hari yang lebih malang dan paling malang kepada kita sebagai rakyat negara ini ialah apabila kerajaan Umno dan BN mempersembahkan maruah dan kedaulatan negara ini kepada Singapura," katanya.

Menurut beliau, Malaysia terlalu banyak memberi kepada Singapura.

"Tidak megapa kita hanya mendapat batu yang tenggelam bila air pasang dan hanya boleh dilihat bila air surut (Batuan Tengah dan Tubir Selatan) kerana itu keputusan ICJ, walaupun Pulau Batu Puteh terletak hanya kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke timur Singapura," kata Mahfuz yang pernah berusaha memasang bendera Malaysia di Pulau Batu Puteh ketika beliau menjadi Ketua Pemuda PAS dahulu setelah menyedari kerajaan Umno dan BN mendiamkan diri apabila Singapura mengibarkan benderanya di pulau sejak 1977 lagi.

Percubaan itu dihalang oleh polis Malaysia atas sebab keselamatan.

Tetapi, katanya lagi, dalam perkara yang tidak ada keputusan mahkamah pun Malaysia sentiasa mengalah kepada Singapura.

Tidak masuk akal

"Air kita dijual kepada mereka dengan harga yang tidak masuk akal dan memalukan. Adakah kita tidak malu kepada masyarakat antarabangsa kalau kiranya kita dituduh menjual air kepada Singapura dengan harga yang tidak akan diberikan oleh sesiapa sahaja yang siuman?

"Tidak cukup dengan itu, kerajaan yang ada sekarang tidak henti-henti tunduk dan patuh kepada Singapura dan baru-baru ini Maybank yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli pula Bank Internasional Indonesia (BII) dengan harga yang dilaporkan empat kali ganda lebih tinggi dari harga pasaran dari Sorak Financial Holdings yang dimiliki Fullerton Financial Holdings (75 peratus) dan dan Kookmin Bank (25 peratus). Fullerton ialah anak syarikat Temasek Holdings.

"Sukar dipercayai Maybank bertindak sendiri membuat keputusan tidak berhemah itu," katanya.

No comments: