Thursday, May 22, 2008

Dr Mahathir tiada hak kritik Umno: Shahrir

Oleh Azhar Abu Samah, Azman Zakaria, Anwar Hussin, Saufi Hamzah dan Norliza Wasilan

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, semalam menegaskan, Tun Dr Mahathir Mohamad kini tidak mempunyai hak mengkritik Umno selepas bertindak keluar daripada parti itu.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkannya pernah menjadi 'duri dalam daging' Umno ketika bertanding calon Bebas satu ketika dulu, Shahrir berkata ada perbezaan antara beliau dengan Dr Mahathir dalam soal tidak menjadi ahli parti.

"Saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan Umno, tetapi cuma tidak dibenarkan menyertai semula Umno Baru ketika ia ditubuhkan pada 1988. Mungkin saya (menjadi duri dalam daging) kerana saya tidak dapat menyertai semula parti.

"Kerana itu, saya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan pada pilihan raya kecil berikutnya, saya menang atas tiket Bebas mengalahkan calon Umno. Kemenangan itu akhirnya menjadi asas untuk Umno membuka keahlian kepada semua orang Melayu dan saya akhirnya menjadi ahli Umno setahun kemudian.

"Saya tidak pernah meninggalkan Umno... cuma adalah sukar untuk saya menyertai semula parti ketika itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Dr Mahathir, dalam laman webnya, chedet.com.my, semalam mengulas komen bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang berkata tiada lagi 'duri dalam daging' Umno apabila Dr Mahathir keluar daripada parti itu Isnin lalu.

Dalam komennya itu, Dr Mahathir berkata, Musa pernah menjadi 'duri dalam daging' Umno pada tahun 1986-87 apabila meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti kerana mahukannya berhenti daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, Shahrir pula, yang pernah menganggotai Kabinet di bawah pentadbirannya, juga pernah keluar daripada Umno dan menjadi duri sepanjang berada di luar parti itu.

Shahrir berkata, beliau tidak kisah dengan kritikan Dr Mahathir terhadapnya dan menganggap perbezaan beliau dengan Dr Mahathir mungkin kerana cara mereka berbeza.

"Beliau tidak boleh mengatakan saya menteri yang tidak baik (dalam melaksanakan tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Dr Mahathir). Beliau mungkin tidak suka cara saya, tetapi ia digemari rakyat," katanya.

Sumber: Berita Harian 23 mei 2008

No comments: