Thursday, May 22, 2008

Exco Selangor nafi tuduhan Mohamad Khir

Friday, 23 May 2008

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Selangor Ronie Liu memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bahawa beliau sudah melantik seorang peguam untuk mengheret ke mahkamah pihak yang membuat dakwaan terhadap dirinya.

"Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Yang Berhomat Sungai Panjang (Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo) hanyalah satu tuduhan. Saya telah melantik seorang peguam dan akan bawa perkara ini ke mahkamah," katanya ketika mencelah semasa sesi perbahasan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah oleh ADUN Sri Serdang Datuk Mohamad Satim Diman.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa kerajaan negeri yang baru gagal melaksanakan penguatkuasaan apabila pusat hiburan dibuka hingga lewat pagi dan bahan lucah seperti video dijual secara terbuka.

Tambahnya, keadaan bertambah buruk apabila salah seorang anggota mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Ronie Liu pula didakwa menghalang tugas-tugas polis daripada menutup sebuah pusat pelacuran di Subang Jaya.

"Perbuatan ini perlu diambil perhatian kerana boleh menjejaskan imej kerajaan negeri. Beliau menjaga pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya tidak bertindak begini," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata perlakuan maksiat tanpa kawalan dan pemerhatian kerajaan negeri boleh memberi kesan negatif kepada orang ramai khususnya masyarakat Islam.

Beliau berkata, aktiviti hiburan jika tidak dikawal dapat memberi kesan buruk kepada golongan muda kaum Cina dan India.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohamad Khir menegur wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat kerana tidak dapat menerima hakikat Barisan Nasional (BN) banyak membawa pembangunan dan kemajuan.

"Terimalah kenyataan yang BN telah bawa banyak kejayaan. Kalau selama ini BN gagal mentadbir, kita semua masih tinggal dalam hutan dan pakai selipar. Pakatan Rakyat seperti tidak tahu bersyukur dengan semua kejayaan ini," katanya.
Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) mencelah dan mendakwa kerajaan BN tidak mengagihkan kekayaan yang dikecapi kepada rakyat biasa sebaliknya menguntungkan golongan tertentu saja. BERNAMA

No comments: