Saturday, May 24, 2008

Keluar Umno: perangkap Mahathir untuk jerat Abdullah dan Anwar?

Basiron Abdul Wahab

Selepas Tun Mahathir meninggalkan Umno, Tun Musa Hitam kata duri dalam Umno dah tercabut, ertinya mahathir selama ini menjadi duri bagi Umno rupanya.

Tiba-tiba Ezam Mohd Noor juara Gerak pula dikatakan akan masuk Umno. Dulu Ezam pernah dakwa akan masuk Umno jika tindakan itu dapat mengeluarkan Dato� Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Ekoran itu Ezam dikatakan berbalah dengan Azman Ali lalu Ezam keluar KeAdilan. Ezam tidak menyertai PAS mungkin kerana PAS rakan KeAdilan, tidak manis bagi PAS menerima Ezam bekas pemimpin KeAdilan.

Ezam tiada pilihan melainkan mempopularkan Gerak bagi membenteras rasuah, Ezam menjelajah ke seluruh negara membicarakan tentang rasuah membuat laporan polis dan sebagainya.

Bagaimanapun keupayaaan Ezam tentulah terhad, tidak sehebat sewaktu dalam KeAdilan yang mempunyai stuktur lebih kukuh. Di Gerak hanya dia dan beberapa orang rakan karibnya sahaja.

Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Ezam tidak bertanding, tiada kerusi untuknya sama ada dari PAS, DAP atau lain-lain. Ezam tentunya sunyi, Ezam melihat rakan-rakannya telah menjadi Wakil Rakyat.

Azmin, Saifuddin sekadar beberapa nama semuanya telah menjadi YB, kenapalah tiada parti yang beri kerusi untuknya, Ibrahim Ali pun diberi kerusi.

Ezam tentu berasa cemburu kedudukanya semakin terpencil sedangkan rakan-rakannya gegak gempita meraikan kemenangan, dia sunyi Lalu masa terbaik untuk menyertai Umno ialah apabila Umno berada dalam keadaan kelam kabut, masa terbaik tiba jua apabila pemimpin Agong Umno meninggalkan parti.

Sekalian Umno sedih dengan pemergian Tun, ramailah ahli Umno yang dukacita sedih bimbang ajal Umno sudah tiba. Lalu Ezam datang mengisytiharkan diri menyertai Umno, walaupun Ezam tidak setanding Adi jagat itu, tetapi sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahukan Umno dan Orang itu ialah Ezam Mohd Noor tokoh memerangi rasuah!.

Kemungkinan Ezam menyertai Umno mungkin disebabkan bapa rasuah (persepsi Ezam) telah meninggalkan Umno, ertinya umno sudah bersih dari rasuah! Jika tidak masakan Ezam boleh menyertai parti kaki rasuah yang didakwanya sebelum ini. Kemungkinan kedua ialah Ezam merupakan mengikut setia Dato' Seri Anwar Ibrahim, ramai yang percaya walaupun Ezam meninggalkan KeAdilan, tetapi hubunganya dengan Anwar tidak pernah putus, siapakah jika bukan Ezam yang sanggup berbuat apa saja untuk membebaskan Anwar dahulu.

Ezam pernah berkata dia sanggup menyertai Umno andainya itu syarat untuk membolehkan Anwar bebas, siapa tau Anwar bebas dengan perjanjian sulit Ezam!.

Jika benar apa yang berlaku ini, senario politik negara bakal berubah dan Anwar semakin hampir untuk mendapatkan semula haknya sebagai perdana menteri yang terlepas kepada Abdullah Badawi.

Dan Ezam adalah bidak percaturan Anwar yang mengorbankan diri semata-mata untuk membolehkan Anwar kembali ke dalam Umno semula!. Ezam sedang merintis jalan ke Putrajaya.

Tun Mahathir sudah menghidu terlebih dahulu percaturan politik Abdullah-Anwar ini. Justeru beliau tidak boleh bertahan lebih lama untuk melepaskan bomnya sebagai ancaman kepada Abdullah supaya segera melepaskan jawatannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sedangkan Najib bagi Abdullah bukanlah orang sesuai untuk menjadi penggantinya kerana mempunyai pelbagai isu yang diperkatakan rakyat. Perlu diingat Najib gagal dalam ujian sebagai pengarah pilihan raya BN dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu. Najib bercakap berapi-api di televisyen untuk menyapu bersih Kelantan, rupa-rupanya bukan PAS yang disapunya, BN yang nyaris disapu bersih oleh PAS di Kelantan.

Najib hanya berjaya meningkatkan majoriti undi dilubuk sendiri iaitu di Pekan dan Rompin sedangkan di Pahang keseluruhannya, enam kerusi BN dirampas Pakatan Rakyat, dua PAS, dua DAP dan dua Perlimen oleh KeAdilan.

Adalah jelas, Najib tidak sehebat Anwar yang menguasai timur dan barat. Anwar ada imej Islam, Anwar ada imej korporat, Anwar ada segala ramuan untuk memimpin Malaysia ia dihormati PAS dan DAP dari kalangan pembangkang.

Siapalah Najib berbanding Anwar, hanya Mahathir dan pemimpin Umno Pahang sahaja yang mati-matian mahu Najib menjadi perdana menteri tetapi malangnya satu demi satu tokoh 'kumpulan penyokong' pro Najib tersungkur. Lihat saja Abdul Razak Baginda dan kini Jamaluddin Jarjis (JJ) sudah dilumpuhkan dan dijatuhkan kerana wanita jelita!. Malang sungguh. Jarjis yang menang besar di Rompin kini diberitakan sudah jarang pulang menjenguk kawasan, tiba-tiba Abdullah mengambil pula tokoh yang tidak dibantu JJ, Dato' Maznah Mazlan menjadi Timbalan Menteri.

Ia suatu penghinaan lagi kepada JJ sekali gus memalukan Najib. Dalam banyak�banyak ahli parlimen dari Pahang Maznah seorang Adun pula diambil Abdullah, ia sungguh memalukan sekalian ahli parlimen dari Pahang yang ramai itu.

Untuk apa Abdullah berbuat begitu jika tidak kerana untuk memalukan Najib!. Ini kerana semua ahli parlimen dari Pahang itu semua adalah orang Najib, Abdullah mahukan mereka berada di dalam barisan menterinya. Bagi Mahathir, dia sudah nampak bahaya bakal menimpanya jika Najib gagal menjadi perdana menteri, lebih lagi dia tidak gembira jika Anwar menjadi pardana menteri.

Justeru sebagai peluru terakhirnya, beliau keluar dari Umno dan mengajak ahli-ahli parlimen mengikuti jejaknya kemudian. Tindakan Mahathir itu tentunya untuk mengacau Abdullah dan Anwar.

Mahathir menggunakan serampang dua mata dalam tindakanya kali ini, bagi Abdullah perlu diganggu dan Anwar perlu 'dibunuh' untuk kali keduanya. Percubaan membunuh Anwar dahulu telah digagalkan Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin yang bertanding ke rumah Anwar kerana menghantar dokumen perjalanan Anwar untuk keluar negara sebaik dibebaskan dari penjara.

Fakta ini tidak wajar dilupakan sesiapa, Khairy sememangnya mempunyai jasa kepada Anwar. Bayangkan apa terjadi jika ada ahli parlimen BN meninggalkan BN menuruti jejak Mahathir, katanya sudah 30 orang ahli parlimen menyertai kumpulan Mahathir, Ketika itu komposisi kerusi parlimen ialah BN (110) Pakatan Rakyat (82) kumpulan Mahathir (30).

Ini bermakna kumpulan Mahathir mempunyai kuasa tawar menawar yang kuat. Mereka diperlukan oleh BN dan Pakatan Rakyat untuk berkuasa. Jika BN mahu meneruskan penggal pemerintahan, mereka sudah tiada kekuatan kerana majoriti parlimen berada ditangan Pakatan Rakyat dan kumpulan Pro Mahathir dengan julah 112 berbading 110!.

Nah, inilah percaturan starategi Mahathir yang hebat untuk mengajar Abdullah dan Anwar sekali gus. Jika ini perlaku maka tidak syak lagi akan bermulalah era baru dalam politik negara.

Abdullah tidak mempunyai pilihan melainkan dua, iaitu beliau akan membubarkan parlimen atau menggunakan kuasa tradisional Umno /BN iaitu ISA!

No comments: