Friday, May 16, 2008

'Lompat' tak semudah yang disangka


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Jumaat, 16 Mei 2008

KL: Sejak beberapa minggu lepas, ada pihak tertentu beranggapan kononnya pembangkang akan berjaya menubuhkan kerajaan pusat, gara-gara kedudukan Barisan Nasional (BN) yang mereka anggap agak goyah di Parlimen, selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Kemungkinan dan ketidakmungkinan terjadinya perkara ini menjadi perbahasan dan perbualan dalam kalangan ahli politik, penganalisis politik, ahli perniagaan dan golongan peringkat akar umbi.

BN menguasai 140 kerusi atau 63.1 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen. Ia memperoleh 4.08 juta undi atau 50.6 peratus undi popular.

Berdasarkan perkiraan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, gabungan pembangkang hanya memerlukan penyertaan 30 Anggota Parlimen BN ke dalam pakatan itu bagi membolehkan mereka mencapai apa yang dihajati.

Jika perkara itu terjadi, maka pakatan pembangkang akan dapat menubuhkan kerajaan baru dengan bersandarkan majoriti mudah. Kini, pembangkang mempunyai 82 kerusi di Parlimen.

Anwar dilaporkan berkata bahawa parti yang diterajuinya telah berjaya memujuk beberapa Anggota Parlimen supaya meninggalkan BN.

Bagaimanapun, berdasarkan satu dokumen yang disebarkan oleh pihak tidak dikenali di Parlimen hari ini, peluang pembangkang untuk mencapai apa yang mereka impikan itu tidaklah semudah yang disangka.

Dokumen berkenaan, yang dipercayai ditulis oleh mereka yang amat arif tentang undang-undang dan Perlembagaan, berhujah bahawa bagi mencapai angan-angan mereka itu, barisan pembangkang perlu mengatasi pelbagai halangan dalam bentuk undang-undang, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dokumen itu menyatakan bahawa halangan pertama termaktub dalam Perkara 43(5), yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri.

Tetapi, sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan Dewan Rakyat, maka beliau perlu menunaikan satu daripada beberapa pilihan yang ada.

Pertama ialah mengemukakan peletakan jawatan sepenuhnya oleh kerajaan yang beliau terajui seperti yang termaktub dalam Perkara 43(4) atau menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru, seperti yang terkandung dalam Perkara 40(2)(b).

Jika ini dilakukan, maka Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seseorang, yang menurut pertimbangan baginda, akan mendapat kepercayaan Dewan Rakyat.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa sekiranya Perdana Menteri kalah dalam undi percaya yang diadakan secara mengejut, tetapi berjaya menghimpunkan semula penyokong beliau dan kembali mendapat sokongan majoriti, maka beliau layak dilantik semula bagi menyandang jawatan itu kerana Yang di-Pertuan Agong boleh memberi perkenan baginda kepada seseorang yang baginda yakini paling mampu mendapat kepercayaan Dewan Rakyat.

Satu halangan lagi yang terpaksa dihadapi Pembangkang ialah tindakan memecat Perlimen tidak boleh dibuat, melainkan Dewan Rakyat memecat Perdana Menteri kerana Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa memecat Perdana Menteri (Perkara 43(5).

Bagi menyokong hujahnya, dokumen itu mengambil sebagai rujukan, kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan lawan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Haji Openg di Sarawak pada 1966, yang mengesahkan bahawa melainkan wujud undi tidak percaya, maka sesuatu pelantikan yang sah, tidak boleh dibatalkan oleh Yang Dipertua Negeri.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan, maka Perdana Menteri sebelumnya akan terus kekal memegang jawatan itu dalam sebuah kerajaan sementara.

Walaupun perkara ini tidak disebut oleh Perlembagaan tetapi ia merupakan suatu konvensyen (amalan) yang diterima secara kukuh di United Kingdom selain di Malaysia dan di semua negara anggota Komanwel, kata dokumen itu.

Dokumen itu juga menyebut bahawa ketidakmampuan sesuatu parti memperoleh majoriti dua pertiga, tidak boleh menghalang Kerajaan Persekutuan daripada menggubal undang-undang atau meluluskan bajet.

"Di UK, kerajaan yang memerintah, mendapat kuasa dengan memperoleh kurang daripada 50 peratus undi popular dan mempunyai asas majoriti di Dewan Rakyat.

Ini bukan kali pertama Perikatan/BN tidak mendapat majoriti dua pertiga. Pada 1969, Perikatan tidak memperoleh lebih 50 peratus undi serta gagal mendapat majoriti dua pertiga. Tun Abdul Razak mentadbir negara ini dari 20 Feb 1971 hinggalah menjelang pilihan raya 1974, hanya dengan mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Dokumen itu juga menyatakan bahawa dalam kes Nordin Salleh (1994), Mahkamah Agung membuat keputusuan bahawa undang-undang antilompat parti melanggar kebebasan yang dijamin oleh Perkara 10(1)(c). Nordin, yang ketika itu anggota PAS dan merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Sungai Pinang, menyertai Umno pada 1992.

Kerajaan Negeri Kelantan kemudiannya menggubal undang-undang antilompat parti bagi ahli politik, yang kemudiannya diputuskan oleh Mahkamah Agung sebagai bercanggah dengan Perlembagaan.

Bagaimanapun, menurut dokumen itu, ada beberapa cara untuk mengatasi keputusan kehakiman ini, satu daripadanya ialah meminda Perkara 10 (2)(c) Perlembagaan Negara bagi menghalang perbuatan melompat parti.

Tetapi, dalam konteks kedudukan politik sekarang, BN yang tidak menguasai majoriti dua prtiga, tidak mungkin mampu membuat pindaan itu.

Satu cara lagi ialah menggunakan Ordinan Darurat mengikut Perkara 150(2B), yang memperuntukkan bahawa seseorang yang dipecat atau keluar daripada parti yang beliau menang atas tiketnya untuk dipilih ke Dewan rakyat, mesti mengosongkan kerusi berkenaan dan kembali mendapatkan mandat daripada pengundi melalui pilihan raya kecil.

Satu cara lagi ialah menggubal undang-undang yang memastikan "pelompat" akan hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun dan perkara ini serupa dengan apa yang terkandung dalam Perkara 48(6) mengenai Anggota Parlimen yang meletak jawatan daripada Dewan Rakyat, kata dokumen itu.

Dokumen itu seterusnya menyebut bahawa Ordinan Darurat merupakan cara penggubalan undang-undang oleh badan eksekutif di luar Parlimen, yang hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia boleh digubal jika memenuhi dua syarat -- wujud keadaan darurat di negara ini dan dua Dewan Parlimen tidak bersidang serentak.

Ordinan ini boleh diterima sebagai "keruntuhan sebuah kerajaan sivil" dan merupakan satu bentuk "darurat" seperti yang diputuskan oleh Majlis Privy dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Kerajaan Malaysia (1968), kata dokumen itu.

No comments: