Saturday, May 17, 2008

Lompat * Tiada tawaran lumayan

Sumber: Utusan Online
KUALA LUMPUR 16 Mei – Presiden Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, beliau tidak pernah ditawarkan ganjaran lumayan untuk menyertai parti pembangkang.

Menurut beliau, sepanjang pengetahuannya ahli-ahli LDP yang lain juga tidak menerima tawaran daripada pihak tertentu untuk lompat parti.

‘‘Tidak (terima sebarang tawaran lumayan).

‘‘Bagi ahli-ahli LDP yang lain pula, setahu saya, mereka juga tidak pernah ditawarkan ganjaran sebegitu untuk melompat parti,’’ katanya di Dewan Seng Peng, Wisma Chinese Chamber di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia semalam mengenai pengakuan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menerima ganjaran lumayan untuk menyertai parti pembangkang.

Terdahulu, Vui Keong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan Ekspo Cintai Malaysia (ECM) 2008.

Turut hadir ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM), Tan Sri William Cheng dan Pengerusi Penganjur ECM, Michael Chai.

Vui Keong menegaskan, Ahli-ahli Parlimen yang ingin melompat parti perlu bertanding semula untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

Jelasnya, tindakan wakil rakyat yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kemudiannya ingin melompat parti adalah tidak betul selain tidak beretika.

Sementara itu, William berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 600 usahawan tempatan dan luar negara akan menyertai ekspo itu.

‘‘Kami menjangkakan sebanyak setengah juta pengunjung mengunjungi ekspo ini,’’ katanya.

Ekspo tersebut akan diadakan dari 3 hingga 7 Disember ini di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC).

No comments: