Ahli parlimen Barisan Nasional kawasan Kota Belud,Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan sedia menjawab cabaran ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat kawasan Gombak,Selangor,Azmin Ali untuk mendedahkan dakwaanya tentang cubaan menyogoknya bagi melompat ke pembangkang.

Syaratnya ialah Azmin perlu terlebih dahulu mendedahkan nama 30 orang Ahli Parlimen BN yang mereka dakwa akan melompat ke PKR.

Mengulas cabaran Naib Presiden PKR itu Jumaat,Rahman berkata mungkin Azmin bermain dengan teka teki itu beranggapan ia satu strategi perang saraf tetapi realitinya ia satu perbuatan yang boleh mengugat kestabilan dan ekonomi negara.


Rahman yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menilai ini kerana para pelabur dna ahli perniagaan semuanya akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan tidak mahu melabur dalam keadaan yang tidak menentu akibat teka teki isu melompat parti ini.

“Yang menanggung akibatnya ialah rakyat kesan dari ketidakstabilan ekonomi negara,”katanya.

Azmin yang bercakap kepada para wartawan di lobi parlimen Khamis mencabar Rahman membuktikan dakwaannya tentang bila, siapa dan jumlah yang ditawarkan sogokan lumayan supaya Ahli Parlimen BN lompat parti.


''Buktikanlah.. bercakap siapa pun boleh bercakap... saya cabar Kota Belud buktikan jumlahnya, tarikhnya dan siapa orang perantara yang disebut itu," katanya.

Sementara itu ditanya apakah Ahli Parlimen Kota Belud itu termasuk dalam senarai mereka yang akan menyertai pembangkang, Azmin berkata: ''Kota Belud..? Dia perasan saja.. Kita (PKR) tak perlu orang yang bercakap soal wang dan rasuah.

''Pada kita mana-mana Ahli Parlimen BN yang bercakap tentang ganjaran kewangan untuk mereka menyertai pembangkang, kita akan keluarkan nama mereka dari senarai termasuk dari Kota Belud jika ada."

Kata Azmin pakatan pembangkang tidak akan sesekali beri sogokan kewangan.

''Mereka (UMNO) ingat kita tawarkan rasuah dalam hal ini (melompat parti) kerana itulah amalan mereka selama ini," katanya.

''Kita hanya menawarkan satu bentuk pakej pembangunan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Sarawak. Siapa yang tidak mahu tawaran royalti minyak 20 peratus berbanding hanya lima peratus oleh BN," ujarnya.

Rahman memberitahu para wartawan di lobi parlimen beliau ada menerima tawaran dari pihak tertentu baru-baru ini yang akan membolehkannya hidup senang beberapa generasi supaya melompat parti.

"Oh...jumlahnya cukup besar...saya akan beritahu bila tiba masanya nanti...dua tiga generasi senang,"katanya.

Beliau enggan memberitahu jumlahnya tetapi menyifatkan tindak tanduk berkenaan sebagai tidak bermoral.

Katanya pihak tertentu itu mengajaknya mengorak sejarah untuk menumbangkan kerajaan BN.

"Kata mereka kerajaan BN korup..rasuah...saya kata cara ini pun korup,"ujar Rahman yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Sabah , Abdul Razak Jamil Jumaati membuat laporan polis di Balai polis Karamunsing dekat Kota Kinabalu terhadap Rahman Dahlan kerana dakwaannya.

Beliau meminta polis menyiasat sama ada dakwaan itu menyalahi peruntukan Akta Kanun Keseksaan dan Akta Pilihan Raya.

"Kita mahu beliau mengemukakan bukti. Sesiapa pun boleh buat dakwaan dan jika beliau gagal berbuat demikian ia adalah satu perbuatan fitnah semata-mata untuk mencemar imej parti,” katanya - 16/5/2008