Thursday, May 22, 2008

Mampukah Ezam banteras rasuah dalam Umno?

Sumber: Harakahdaily
Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | May 23, 08 | 10:32:18 am MYT

Desas-desus bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Ezam Mohd Noor akan menyertai Umno semakin bertiup kencang, malah telah banyak akhbar utama menyiarkan spekulasi mengenai perkembangan itu.

The Star semalam melaporkan Ezam dikatakan sedang mempertimbangkan niat untuk menyertai semula Umno selepas keluar pada tahun 1998 ketika menentang tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ezam sangat dikenali ketika era reformasi kerana kegarangannya menentang dan mendedahkan pelbagai salah laku pemimpin Umno dari kes Mahathir hingga kepada Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Dato' Seri Rafidah Aziz hingga beliau terpenjara dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ezam sendiri pernah bergelut dengan satu lagi akta yang cukup menjadi seteru kepadanya iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membuatkan beliau dan enam sahabatnya, Tian Chua (ahli Parlimen Batu), Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Ghani Haroon, N.Gobalakrishnan (kini ahli Parlimen Padang Serai) dan Saari Sungip (Adun Hulu Kelang) terpenjara lebih dua tahun tanpa perbicaraan.

Paling mengimbau kenangan, Ezam sendiri selepas keluar dari penjara bingkas membuat beberapa laporan ke atas Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ahli keluarganya melalui NGO yang ditubuhkannya, Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).

Kemudian, Gerak juga adalah pertubuhan yang mendedahkan kes membabitkan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Seri Zulkifli Mohd Noor yang menggemparkan negara.

Kes itu antara lain didakwa ada kaitan dengan beberapa pemimpin kerajaan antaranya bermula pada pemerintahan Tun Dr Mahathir hingga Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan ke jawatan itu.

Selain itu Zukifli juga dikaitkan dengan kes salah laku dan penyelewengan selain mendiamkan beberapa laporkan penyelewengan dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan anak menantu Perdana Menteri.

Kehadiran Gerak sekitar tahun 2006 hingga 2007 memberi impak besar kepada gelombang gerakan membanteras rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dalam motif badan itu untuk menolak rasuah secara total.

Kini Ezam dikatakan akan meninggalkan Gerak kepada seorang anak muda bekas Graduan Universiti Malaya, Mohd Nazree Yunos untuk terus memimpin NGO itu.

Desas-desus kemasukan Ezam ke dalam Umno ini berlegar tatkala ahli Umno kini meratapi penceraian bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir yang mengumumkan keluar Umno beberapa hari lalu.

Ezam sendiri tahu bahawa Umno ditinggalkan Tun Mahathir kerana pelbagai kelemahan yang terjadi dalam pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi.

Dari kes rasuah yang melimpah (termasuk yang dilapor Ezam sendiri) hinggalah kepada kes-kes jenayah dan masalah ekonomi yang kritikal.

Desas-desus yang menyatakan beliau (Ezam) akan masuk semula ke dalam Umno mengundang reaksi pelbagai di kalangan pemimpin KeADILan, orang ramai dan pemimpin Umno sendiri.

Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri menyifatkan jika benar dakwaan itu, ianya sebagai satu yang aneh bagi bekas ketua AMK itu menyertai semula Umno.

Wan Azizah sendiri merasakan aneh kerana Ezam sendiri begitu kritikal terhadap parti Umno.

"(Tetapi) ini pilihannya. Selepas apa yang dilakukannya untuk parti, selepas dipenjara, dia memilih untuk kembali semula kepada mereka (Umno)," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang Ezam akan menyertai semula Umno.

Sahabat baik Ezam dalam tahanan ISA, Tian Chua pula melihat tindakan Ezam itu tidak memberi sebarang kesan kepada KeADILan kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam parti itu.

Tian yang juga ahli Parlimen Batu melahirkan rasa kesalnya, kerana Ezam membuat pilihan seumpama itu.

Namun berita dakwaan Ezam akan kembali menyertai Umno disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz yang menyifatkan Ezam sebagai orang yang paling dipercayainya ketika berada dalam Umno.

Begitupun Ezam sendiri hingga kini masih tidak mengesahkan lagi penyertaannya dalam Umno dan hanya akan membuat kenyataan mengenai hal itu sekembalinya dari luar negara Selasa ini.

Namun jika benar beliau mahu 'rujuk' semula ke dalam Umno selepas Dr Mahathir 'menceraikan' parti nasionalis itu, satu perkara yang perlu diingatkan sama ada mampukah beliau meneruskan agenda membanteras rasuah selepas kembali ke dalam Umno?

--------------------------------------------
Bila Ezam Masuk UMNO?
Sumber: Ketua Perusuh
05.22.08

Tidak cukup dengan kekalutan yang dijanakan oleh Mahathir Mohamad beberapa hari yang lalu, kini beberapa petunjuk nampaknya semakin jelas mengenai aliran politik Ezam Mohd Nor. Satu ketika dahulu Ezam Mohd Nor adalah setiausaha politik Anwar Ibrahim dan masing-masing berada dibawah paksi parti UMNO.

Lompatan pertama Ezam dari UMNO terus kepada KeADILan dan seterusnya kepada PKR. Namun beliau tidak betah didalam PKR kerana beberapa sebab yang hanya beliau dan Allah S.W.T yang tahu. Kini khabarnya Ezam Mohd Nor akan kembali kedalam parti UMNO.

Saya pernah rapat dengan beliau (walaupun tidak sama aliran politik) dan berpeluang beberapa kali bertukar-tukar pandangan dengan beliau. Malah pernah satu ketika didalam sebuah majlis jamuan hari raya Aidilfiri di Shah Alam, saya pernah melontarkan pandangan saya terhadap dirinya.

Saya mengatakan sebegini dikhalayak ramai ketika dimeja jamuan “Ezam, Aku rasa aku tak boleh lah nak percaya dengan apa tindakan engkau. Arah aliran politik engkau pun aku nampak tak konsisten. Banyak sangat yang kecelaruannya.”

Seingat saya merah padam muka Ezam mendengarkan bicara saya seperti itu. Malah IR Khalid Samad dan Dr Wan Azizah agak terkejut dengan kata-kata yang saya lontarkan. Ezam tidak membalas apa-apa jawapan pun ketika itu. Kalau tidak silap saya beliau terus beredar ke meja yang lain.

Saya juga pernah berpeluang berbicara secara peribadi dengan Lokman Nor Adam mengenai isu beliau berbalah dengan Ezam Mohd Nor satu ketika dahulu. Dari situ saya dapat lihat siapa sebenarnya Ezam Mohd Nor. Maka isu Ezam Mohd Nor ingin kembali kepada UMNO tidak mengejutkan saya sama sekali.

Ezam Mohd Nor seperti juga seorang kenalan saya (Roslan Kassim) memang seorang yang pada prinsipnya tidak konsisten dalam perjuangan. Apa yang saya boleh katakan mereka berdua ini hanyalah menanti peluang yang baik dan menguntungkan dari pelbagai segi. Mereka nampaknya lebih mementingkan tembolok dari aspirasi rakyat marhaen.

Kalau itulah jalan yang dipilih oleh Ezam Mohd Nor, maka rasanya itulah penamat bagi Ezam Mohd Nor pergi dalam percaturan politiknya. Beliau pastinya akan terus tenggelam dan tidak akan kemana-mana. Kita boleh tunggu dan lihat. Yang pastinya jika itulah tindakan beliau (masuk UMNO) maka makin ramai yang akan meludah beliau bila ketemu dijalanan.

Apa pun ini hanyalah pandangan saya. Ezam Mohd Nor sendiri berhak untuk tidak bersetuju dengan pandangan saya begitu juga dengan orang lain.

No comments: