Tuesday, May 20, 2008

"Mungkin taktik beliau untuk memberikan tekanan kepada Pak Lah" Rahim Tamby Chik

sumber: KLpos
Oleh KLpos, Mstar
Isnin, 19 Mei 2008

KL: Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Rahim Tamby Chik menganggap keputusan Dr Mahathir itu sebagai satu keputusan yang tragis bagi Umno dan orang Melayu.

Beliau bagaimanapun menasihatkan ahli Umno agar terus bersabar dan tidak bertindak tergesa-gesa berikutan keputusan Dr Mahathir itu.

"Itu mungkin satu taktik beliau untuk memberikan tekanan kepada Pak Lah. Bagaimanapun, kita sebagai ahli Umno tidak perlu terburu-buru kerana peruntukan perlembagaan memberikan kita hak untuk menentukan arah tuju parti melalui pemilihan yang akan diadakan Disember depan," katanya.


Ahli Umno, katanya, perlu mengambil iktibar daripada pelbagai perkara yang pernah dilalui Umno dan sentiasa meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan pemimpin atau individu.

Sementara itu, terkejut dan tidak percaya adalah reaksi awal ramai pemimpin dan bekas pemimpin Umo mengenai keputusan drastik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar parti, tengah hari Isnin.

Antara yang seakan-akan tidak percaya dengan perkhabaran itu termasuk ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz dan ahli majlis tertinggi Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Kedua-dua mereka ketika dihubungi berkata, mereka perlu mendapatkan penjelasan lanjut dan enggan mengulas hanya berdasarkan laporan awal media.

Dengan nada terkejut, Rafidah yang kini berada di Singapura berkata beliau hanya boleh memberikan ulasan setelah mendapatkan penjelasan sendiri mengenai berita itu.

Begitu juga Dr Mohd Khir yang berkata beliau perlu terlebih dahulu mengesahkan berita itu sebelum mengulasnya.

Turut terkejut dan terkilan dengan tindakan Dr Mahathir itu ialah ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad.

"Saya memang terkejut. Dalam pada itu, saya juga terkilan kerana tindakan beliau kerana ia bertentangan dengan tunjuk ajar yang beliau berikan kepada pemimpin muda sebelum ini.

"Saya masih ingat nasihat beliau ketika masih presiden Umno dan perdana menteri bahawa yang paling penting ialah parti, bukan pemimpin atau individu," katanya.

Noraini berkata dalam keadaan yang tidak menentu ini pemimpin Umno perlu menguatkan tekad dalam meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya.

"Dr Mahathir seorang pemimpin besar. Beliau ada ramai penyokong, tetapi saya harap, kali ini penyokong beliau dapat bersabar dan kekal bersama Umno demi kesinambungan perjuangan untuk orang Melayu.

Sementara itu seorang lagi ahli MT Datuk Khaled Nordin berkata keputusan keluar Umno oleh Dr Mahathir tidak langsung akan menjejaskan perjuangan parti.

"Itu hak beliau untuk masuk atau keluar mana-mana parti yang dia suka. Yang penting, orang Melayu menyertai Umno bukan kerana Dr Mahathir atau Pak lah, tetapi kerana percaya dan menyokong perjuangan parti.

"Umno, dan bukan pemimpinnya yang menjadi asas kepada perjuangan memertabatkan agama, bangsa dan negara.

"Dengan Dr Mahathir keluar Umno, pada saya tidak perlu lagi beliau mencampuri urusan parti kita," tambahnya.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi juga yakin pujukan Dr Mahathir kepada pemimpin lain agar mengikut jejaknya meninggalkan Umno tidak akan berjaya kerana mereka sedar perjuangan bekas perdana menteri itu sudah jauh tersasar daripada musuh sebenar parti.

No comments: