Friday, May 16, 2008

Pandikar Amin lepas jawatan parti

sumber: Malaysiakini

May 15, 08 9:12am
Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Marudu bagi memberi tumpuan kepada tugas barunya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pandikar Amin memberitahu Bernama hari ini bahawa selaku Speaker Dewan Rakyat, beliau perlu dilihat sebagai individu yang adil daripada segi tindakan dan juga tingkah laku dan adalah wajar beliau tidak begitu aktif dalam politik.

"(Bekas speaker) Allahyarham Tun Zahir (Ismail) tidak pernah, selama 32 tahun, memegang mana-mana jawatan dalam parti politik, tidak pernah bergiat aktif dalam politik. Jadi saya juga perlu buktikan saya juga tidak terlibat secara aktif sebab saya adalah Speaker untuk semua pihak," katanya.

Pandikar Amin berkata walaupun beliau begitu berat hati untuk meninggalkan bidang politik, tindakan itu merupakan sesuatu yang sudah lama difikirkannya sebelum beliau bersetuju menerima jawatan sebagai Speaker.

"Saya baru hantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (mengenai keputusannya meletakkan jawatan dalam Umno) memandangkan beliau merupakan Presiden Umno. Saya suruh pegawai saya hantar pagi tadi. Ia tiada kaitan langsung dengan spekulasi cross over," katanya, merujuk kepada isu melompat parti khususnya dalam kalangan Anggota Parlimen BN dari Sabah.

Pandikar Amin ternyata terperanjat bagaimana pihak media dapat mengetahui perkara itu sedangkan beliau baru sahaja menghantar surat peletakan jawatannya pagi tadi.

"Saya tidak tahu macam mana kamu semua tahu. Perdana Menteri pun belum baca lagi kamu semua sudah tahu. Apa pun, saya ingin tegaskan bahawa apa yang saya lakukan itu adalah perlu demi menjaga keutuhan jawatan yang saya sandang pada masa ini.

"Jika saya tidak berbuat demikian, saya akan dianggap sebagai bertindak tidak adil kepada semua. Jadi saya kena buktikan saya bersikap adil.

"Saya tidak boleh dianggap berlaku adil jika pada masa yang sama saya pegang jawatan Speaker dan pada masa yang sama berkempen untuk pemilihan bahagian," katanya.

Pandikar Amin, yang menyertai Umno pada 2001 apabila parti itu melebarkan sayapnya ke Sabah, telah memegang jawatan sebagai pengerusi penaja Umno Bahagian Marudu dan kemudiannya dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian itu hingga sekarang.

Sebelum itu, pada tahun 1982 Pandikar Amin menganggotai USNO dan setahun kemudian meninggalkannya dan menubuhkan Parti Bertindak Rakyat Sabah Bersatu (Bersih) dan menjadi presidennya. Pada 1986 beliau meninggalkan Bersih untuk menyertai Parti Bersatu Sabah sebelum menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) sehinggalah parti itu dibubarkan pada 2001 dan anggota-anggotanya meneyrtai Umno.

No comments: