Thursday, May 22, 2008

Penyu Menangis Pun Mahathir Tahu

Pendapat Oleh kickdefella

Keputusan Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO tidak ada bezanya dengan keputusan-keputusan yang diambilnya selama ini sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga sebagai negarawan. Lantaran seperti keputusan-keputusan Tun sebelum ini, ianya sukar difahami dan sukar diterima di dalam masa yang singkat.

Keputusan Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO adalah hampir sama dengan keputusan yang diambilnya pada tahun 1998 iaitu keputusan mengikat ringgit dengan Dollar Amerika dan mengadakan sekatan modal. Ianya sukar diterima oleh mereka yang memahami ekonomi sama seperti mereka yang memahami politik hari ini dan ia ditolak mentah-mentah oleh penyokong setia Anwar Ibrahim, seperti mana mereka mempersendakan keputusan terkini Tun.

Keputusan Mukhriz Mahathir untuk kekal di dalam UMNO pula dijadikan lawak jenaka untuk memperkecilkan usaha Tun tetapi sebenar-benarnya, tindakan Mukhriz itu adalah didalam sedar atau tidak, adalah sebahagian dari perancangan besar Tun untuk menggugat pentadbiran Abdullah.

Tun sudah pasti yakin bahawa Mukhriz tidak akan keluar dari UMNO sebagaimana yang diserunya. Bahkan, beradanya Mukhriz didalam UMNO akan lebih mengancam masa depan pemerintahan Abdullah dan ini adalah yang dikehendakinya.

Tindakan Mukhriz, mendesak Abdullah meletakkan jawatan segera sewaktu mengumumkan untuk terus bersama UMNO merupakan satu percaturan hebat politik yang hanya Mahathir miliki. Abdullah lebih tertekan dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO lebih tertekan dengan adanya Mukhriz di dalam UMNO. Kalau diambil kira pengamatan Musa Hitam bahawa keluarnya Mahathir bererti keluarnya duri dari dalam daging, maka Musa silap, kerana Mahathir masih meninggalkan duri yang besar di dalam UMNO menerusi Mukhriz.

Mahathir tidak menggesa Mukhriz untuk kekal di dalam UMNO sebagai sebahagian dari strateginya, sebaliknya Mahathir mempergunakan kesetiaan anaknya di dalam UMNO untuk menjayakan strateginya.

Apakah strategi Mahathir?

Mahathir tahu dan faham benar sejarah UMNO. UMNO yang ada sekarang adalah UMNO ciptaannya. Mahathir tahu seruannya supaya ahli-ahli UMNO keluar sementara dari UMNO tidak akan dapat menumbangkan UMNO. UMNO telah dibuktikan sejarah tidak tumbang akibat ahli-ahli keluar parti dengan majoriti ahli UMNO berakar umbi dari perjuangan Melayu yang setia kepada pemerintah. Tradisi UMNO terus berpegang kepada sumpah Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun.
Mahathir juga tahu tradisi UMNO jelas dibuktikan sejarah bahawa jawatan tertinggi UMNO tidak pernah dimenangi menerusi pertandingan sebaliknya menerusi satu peralihan kuasa dengan pengunduran Presiden. Feudalisme di dalam UMNO masih kukuh, kuasa diserahkan secara bulat dan bukan dirampas menerusi undian.

Mahathir hari ini juga terus membuktikan bahawa tradisi UMNO kekal, dengan bekas Presidennya hidup di luar UMNO dan sejarah tidak menafikan kesemua bekas Presiden UMNO menghembuskan nafas terakhirnya diluar UMNO.

Sejarah juga membuktikan bahawa bekas Presiden UMNO akan lebih cenderung kepada perjuangan pembangkang secara langsung atau tidak langsung setelah tiada lagi didalam tampuk kuasa UMNO.

Mahathir tahu itu semua. Siapa yang lebih tahu tentang tradisi UMNO jika bukan Mahathir? Tindakan Mahathir keluar dari UMNO bukanlah satu lawak jenaka dan tindakan Mukhriz kekal didalam UMNO bukanlah satu penderhakaan terhadap ayahnya. Mereka yang mempersendakan insiden ini sebenarnya mereka yang daif dalam politik Malaysia.

Tetapi ada sesuatu yang Mahathir tahu, namun ramai antara kita tidak tahu.

Dari sebelum menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO lagi, Mahathir mempunyai satu sentimen unik terhadap PAS. PAS bagi Mahathir adalah satu institusi penting bagi UMNO dan PAS adalah satu elemen utama didalam penyeimbangan kuasa di Malaysia.

Mahathir sering melihat kepentingan PAS dan yakin bahawa PAS perlu ada di luar Barisan Nasional. Bahkan, Mahathir membuktikan pemahamannya itu dengan menjadi tonggak instrumental didalam menyingkirkan PAS keluar dari Barisan Nasional selepas pilihanraya 1974.

Tiada siapa yang lebih bertanggungjawab menyingkirkan PAS dari Barisan Nasional melainkan Mahathir, kata-kata seorang tokoh PAS Kelantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan sewaktu kemelut itu selepas Pilihanraya 1974 masih tergiang-ngiang ditelinga saya.

Masih juga terngiang-ngiang ditelinga saya, jawapan Tuan Guru Nik Aziz didalam sidang media pada 8 Mac 2008 sewaktu mengulas kemenangan besar PAS, Nik Aziz berkata, dia tidak rela melihat PAS kembali ke dalam Barisan Nasional.

Mahathir juga tentu berkongsi intipati pengakuan Nik Aziz itu. Mahathir juga tentu tidak ingin melihat PAS kembali ke dalam Barisan Nasional. Apatah lagi di dalam keadaan sekarang, kembalinya PAS ke dalam Barisan Nasional beerti hanya satu, iaitu Abdullah akan terus berada di dalam tampuk kuasa untuk masa yang lama.
Apakah Mahathir tahu dan kita sebenarnya tidak tahu bahawa ada usaha diperingkat tertinggi untuk membawa PAS kembali ke dalam Barisan Nasional? Usaha yang sebenarnya ditentang hebat diperingkat akar umbi PAS dan usaha yang sebenarnya akan mengkianati perjuangan rakyat?

Mahathir tentu terpanggil untuk memastikan usaha itu akan tidak menjadi kenyataan jika maklumat perisikan membisikkan ke telinganya bahawa usaha-usaha tersebut sedang diperingkat akhir.

Mahathir yakin ada segelintir didalam PAS yang melihat jika PAS kembali ke Barisan Nasional, PAS akan menjadi parti kedua terkuat mengikut jumlah wakil rakyat di Parlimen. PAS mempunyai 22 kerusi berbanding MCA hanya 15, PBB 14 kerusi, PRS 6 kerusi, SUPP 6 Kerusi dan lain lain komponen memiliki 4 kerusi atau kurang.

Sebaliknya di dalam Pakatan Rakyat, PAS pada waktu ini adalah Parti paling kecil dengan memiliki hanya 22 kerusi berbanding 28 kerusi untuk DAP dan 31 Kerusi untuk PKR. PAS juga adalah minoriti di Perak dan di Selangor dan tidak diiktiraf di Pulau Pinang.

Kembalinya PAS ke dalam Barisan Nasional akan menumbangkan kerajaan negeri Perak dan mengembalikan Kedah dan Kelantan ke dalam Barisan Nasional. Ini adalah kemenangan moral dan coup de tat terhebat buat Abdullah. Jika ini berlaku, harapan Mahathir melihat Abdullah tumbang tidak akan berlaku.

Mahathir juga tahu, jika PAS kembali ke dalam Barisan Nasional, sudah tentu akan mengakibatkan porak peranda di dalam PAS. Di dalam keadaan semangat bencikan Barisan Nasional begitu meluat-luat, PAS berharapan besar untuk musnah lantas akan melemahkan peranan PAS sebagai penyeimbangan kuasa di dalam politik Melayu.

Tentu sekali bila Nik Aziz menyambut keluarnya Mahathir dari UMNO sebagai sesuatu yang paling menggembirakannya, adalah kerana Nik Aziz juga tidak mahu PAS kembali ke dalam Barisan Nasional.

Apakah keputusan Mahathir keluar dari UMNO adalah sebahagian dari usaha Mahathir untuk menggagalkan kembalinya PAS ke dalam BN? Sudah pasti jika ada usaha-usaha itu ia pastinya ia akan tergendala buat sementara waktu.

Keluarnya Mahathir dari UMNO akan menyentap sebarang perundingan yang sedang berlaku secara rahsia, jika rundingan itu benar-benar sedang berlangsung, dan sudah tentu akan membantutkan usaha itu jika ada pihak sedang mengusahakannya.

Sebagai seorang yang negarawan, tindakan Mahathir meninggalkan UMNO juga amat sesuai dengan statusnya itu. Mahathir bukan milik UMNO dan perjuangan Mahathir sebagai negarawan tidak sepatutnya untuk UMNO tetapi untuk Malaysia.

Pemilihan detik pengumuman tindakan kontroversinya itu juga berkait rapat dengan khabar-khabar angin bahawa kerajaan pemerintahan Abdullah sudah hampir tumbang pada minggu lepas. Khabar-khabar angin itu juga mengatakan bahawa Anwar Ibrahim sudah memiliki lebih 40 ahli Dewan Rakyat dari Barisan Nasional yang bersedia untuk menyertai penubuhan kerajaan campuran Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, tindakan keluarnya Mahathir juga mungkin adalah satu sabotaj terhadap usaha itu. Mahathir menyeru supaya ahli Dewan rakyat dari UMNO keluar dari kerajaan sekarang dan menjadi ahli Bebas. Apakah ini isyarat Mahathir kepada lebih 40 ahli Dewan rakyat tersebut?

Atau mungkinkah setelah berkali-kali usaha dilakukan oleh pihak Anwar untuk menemui Mahathir menemui jalan buntu, keluarnya Mahathir adalah sebagai memberi isyarat bahawa kini dia sudah boleh bertemu dengan bekas Timbalannya itu.

Apapun, hanya Mahathir yang lebih tahu dan yang pastinya, tindakan Mahathir keluar dari UMNO bukanlah sesuatu yang sejelas-jelasnya. Mahathir tidak akan melakukan sesuatu hanya untuk satu sebab sahaja. Mesti ada banyak sebab dan banyak yang sedang dipercaturkannya yang menyebabkan dia perlu keluar dari UMNO.

Seperti biasa, hanya masa yang akan dapat menyelongkar segala yang sedang dipercaturkan oleh Mahathir. Tetapi, adakah masa berada dipihak Mahathir?

No comments: