Thursday, May 22, 2008

Projek penswastaan Selangor rugi lebih RM35 bilion - MB

Saidah Hairan
Thu | May 22, 08 | 5:48:31 pm MYT

SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan projek-projek usahasama yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor tidak menguntungkan, sebaliknya kerajaan negeri terpaksa menanggung risiko yang tinggi hasil keuntungan yang tidak menentu.

Menurut beliau, ia ekoran daripada pembelian tanah yang dilakukan oleh kerajaan BN-Umno melalui perjanjian usahasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat swasta.

Beliau kesal kerana pemaju mempunyai kuasa terhadap tanah apabila kerajaan negeri membeli tanah melalui PNSB dengan pegangan 30 peratus manakala pemaju tanah Sepang Bay Sdn.Bhd sebanyak 70 peratus.

"Saya telah meneliti semua perbelanjaan negeri malangnya segala kekayaan itu tidak dapat disalurkan kepada rakyat ekoran kerugian melebihi 35 bilion," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Batu Caves, Amiruddin Shari.

Dalam sesi soal jawab lisan, Adun Batu Caves (KeADILan) minta penjelasan tentang syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti PKNS dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang ada membuat projek pembangunan yang dijalankan secara usahasama dengan syarikat swasta.

Menjawab soalan tersebut, Khalid menjelaskan, antara syarikat projek usahasama yang terlibat Sepang Gold Coast Sdn.Bhd. (Usahasama antara Sepang Bay sdn.bhd. dan PNSB).

Katanya, syarikat tersebut bercadang membina pembangunan berkonsepkan pelancongan di atas tanah seluas 3,686 ekar di daerah Sepang dan 935 ekar di Kuala Langat.

Beliau menjelaskan, sebahagian daripada pembangunan Sepang Gold Coast melibatkan penggunaan teknologi on-stilt (bangunan atas tiang) iaitu menanam cerucuk di atas tanah laut yang melibatkan kos tinggi.

Manakala syarikat Lebar Daun Development Sdn. Bhd. pula bercadang membina dan menyiapkan pusat membeli belah, pejabat dan kediaman di atas Precint 2.9 seksyen 14, Shah Alam dengan keluasan tanah 3.475 ekar.

Malangnya menurut beliau pembinaan itu belum dapat dibina sejak perjanjian usahasama ditandatangani 21 November 2002.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar (PAS) mengajukan soalan tambahan, apakah kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan sistem yang diamalkan oleh kerajaan dahulu, BN.

Khalid menjawab; "Saya telah minta semua syarikat PKNS, PKPS tidak lagi membuat perjanjian usahasama sehingga semua usahasama yang ada diselesaikan."

Menurut beliau, kerajaan BN telah menyerahkan kuasa tanah pada syarikat-syarikat tersebut dan kerajaan negeri hanya memperolehi 6 peratus keuntungan daripada usahasama itu jika berjaya.

"Semua pengusaha syarikat itu telah lari dan perkara ini amat serius," tegas beliau.

Beliau turut simpati dengan ketakutan pegawai terlibat yang mengigil ketika menyerahkan minit berhubung pembelian tanah.

"Saya mempertikaikan tentang perjanjian pembelian tanah itu yang agak cepat, malangnya pegawai tersebut hanya menjawab; "Saya ikut arahan." - mns

No comments: