Thursday, May 22, 2008

Tanggungjawab besar tunggu Dr Hasan Ali

Abdul Shukur Harun | Foto Nasir Sudin
Thu | May 22, 08 | 3:24:09 pm MYT

Tahniah atas pelantikan Dato' Dr Hasan Ali sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Ini selaras dengan kedudukan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, sebuah portfolio yang penting.

Pelantikannya diperkenan Tuanku Sultan Sharafuddin ImageIdris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pelantikannya itu memang wajar justeru beliau mempunyai kelayakan dan kemampuan memikul amanah 'menyemarakkan' suasana keagamaan di negeri Selangor, sesuai dengan kedudukannya sebagai negeri Lembah Klang yang kosmopolitan.

Sudah pasti pelbagai cabaran akan dihadapinya dalam meneruskan visinya. Tetapi tokoh seperti beliau dengan penasihat dan para pegawainya yang berkemampuan, serta juga bantuan daripada pelbagai pihak yang arif mengenai agama, tidak sukar beliau menghadapi cabaran itu dan mempunyai peluang besar untuk berjaya.

Ketika ditemui oleh wartawan Harakah, Saidah Hairan selepas majlis perasmian sidang DUN, Dr Hasan berkata, beliau bercadang membuat beberapa pengubahsuaian terhadap Mais dan anak syarikatnya seperti Lembaga Zakat, Mais Co dan Kuis.

Kata beliau lagi, dengan pengubahsuaian itu diharap Mais dan anak syarikatnya akan menjadi lebih kukuh, padu dan bertenaga.

Selain itu, menurutnya jawatankuasa masjid akan disusun semula dan berharap akan dapat cadangan daripada pelbagai pihak. Tetapi yang lebih penting, katanya, masjid akan dijadikan pusat transformasi masyarakat setempat.

Dr Hasan juga berkata, beliau bercadang mengubah organisasi masjid yang selama ini hanya dikuasai ahli politik dan orang yang kurang arif dengan agama.

Justeru itu barangkali beliau melihat selama ini ada kejumudan atau kebekuan dalam aktiviti sesetengah masjid.

Selama ini umat Islam yang prihatin di Selangor memang cukup lama menunggu suatu perubahan dalam usaha menceriakan lagi agama Islam di negeri ini. Justru itu cita-citanya untuk mengislahkan atau mereformasikan masjid sebagai pusat ilmu dan ibadah memang sesuatau yang ditungguh-tunggu umat.

Sekali lagi saya menyatakan bahawa memang cukup lama umat Islam yang prihatin menunggu tibanya 'zaman pencerahan' yang boleh memancarkan kemakmuran dan kegemilangan masjid bukan saja sebagai pusat ilmu dan ibadah, tetapi juga menjadi pusat berinteraksi antara umat Islam dengan bukan Islam.

Ini supaya orang bukan Islam lebih memahami sistem nilai Islam sebagai agama tauhid yang agung, yang menebarkan syariat Islam yang penuh dengan keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan keikhlasan.

Jika ini dapat dilaksanakan dengan bantuan semua pihak, maka saya fikir, usaha besar Dr Hasan ini akan tercapai. Ramai tokoh, bukan saja daripada kalangan ustaz, tetapi juga di kalangan ahli profesional, intelektual, malah ahli biasa kariah masjid, tetapi sangat prihatin dengan perkembangan Islam, sudah lama menginginkan perubahan dari 'wajah dan watak masjid dan surau' yang lesu selama ini kepada wajah dan watak yang ceria, segar dan melimpahkan sinarnya yang gemilang sebagai rumah Allah SWT.

Jika jawatankuasa baru masjid yang akan dilantik ini terdiri daripada mereka yang benar-benar memahami fungsi masjid dan luas ilmunya, berfikiran terbuka dan tidak ada sebarang kepentingan peribadi, nescaya cita-cita mengimarakkan masjid dalam erti kata sebenarnya, insya-Allah, akan tercapai.

Selain daripada kuliah dan forum agama yang biasa, sewajarnya masjid dicadangkan mengatur program �mendekati masyarakat� yang sewajarnya dilakukan oleh jawatankuasa masjid dan surau sendiri dengan bantuan kakitangan masjid dan surau.

Selain itu, pihak masjid perlu mengambil sikap 'peduli umat' kepada golongan fakir miskin, yang bernasib malang, ibu tunggal, saudara baru, golongan remaja bermasalah dan pelbagai lagi. Golongan saudara baru perlu diberi perhatian khusus. Perlu ada usaha membimbing dan menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

Di samping itu seminar dan wacana ilmu berskala besar, sederhana dan kecil sewajarnya diadakan. Ini semua untuk mengimarakkan masjid sebagai pusat atau taman ilmu yang segar, wangi dan berwarna-warni.

Para imam masjid, bilal dan kakitangan lain perlu berikan perhatian dari segi kebajikan mereka. Di samping itu, sangat penting juga bahawa mereka ini mestilah diberikan kedudukan penting sebagai sumber utama mengimarakkan masjid. Idea mereka wajaranya didengar. Sama ada diterima atau tidak, itu suatu persoalan lain.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk mewujudkan surau di pasar tani dan pasar malam, Dr Hasan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan terlebih dulu.

"Saya nak bincang mengenai projek solat berjemaah di pasar tani dan pasar malam serta beberapa cadangan bagaimana menghidupkan amal Islami," katanya.

Walaupun belum terlaksana cita-cita itu, tetapi saya dapat menggambarkan bagaimana suasana agama dapat diwujudkan di celah-celah simpang siur dan keriuhan pasar malam dan pasar tani jika cita-cita Dr Hasan ini terlaksana.

Kesimpulannya, di samping kita menunggu penuh harapan akan perubahan yang diusahakan oleh Exco Agama di bawah kerajaan baru di Selangor ini, sewajarnya kita sama-sama memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha mulia ini.

Ini sebuah harapan. Mudah-mudahan Allah SWT meredai segala usaha baik ini.

No comments: