Wednesday, May 7, 2008

YB berkamera, politik bikini

Dari: Malaysiakini
Edwin Michael | May 2, 08 2:04pm
Serta-merta saya menerima emel dari rakan saya di Jakarta sebaik sahaja beliau melayari laman web akhbar tempatan.

Isunya mengenai gambar seorang Yang Berhomat pembangkang yang bangga menunjuk-nunjukkan kameranya sewaktu sidang parlimen pertama kelmarin.

Saya percaya, perilaku YB ini mungkin jarang dan pertama seumpamanya berlaku di mana-mana parlimen di dunia ini. Seorang YB yang sibuk bergambar di parlimen negara!

Seseorang YB seharusnya memperlihatkan kredibilitinya sebagai wakil rakyat yang diamanahkan oleh rakyat untuk ke parlimen, bukannya bersuka ria mahupun menampilkan kelainan dengan perilaku yang boleh menjatuhkan maruahnya.

Peranannya memang bukan mudah kerana sebagai YB, beliau seharusnya membahas, menggubal dan merangka sesuatu dasar atau undang-undang serta mengkritik sekiranya mempunyai apa juga kelemahan pada pihak kerajaan demi kepentingan rakyat.

Soalnya, hari pertama YB ini melangkah ke parlimen dengan sebuah kamera tergantung di lehernya, tidak lebih daripada menghabiskan masanya dengan menangkap gambar. Alahai sayangnya.

YB berkenaan wajar mengubah mentaliti dan gaya pemikiran politik beliau, bahawasanya parlimen merupakan sebuah medium penyebar tarbiyah masyarakat yang seharusnya dipelopori oleh individu yang berkredibiliti tinggi dan memiliki kemahiran politik yang tajam dan matang.

Rakan saya itu menganggap perilaku YB ini tidak ubah seperti istilah "politik bikini".

Politik bikini merupakan sebuah pendekatan politik yang mencuba untuk menutupi persoalan-persoalan penting yang barangkali sangat bermasalah (umpama bikini yang menutupi bahagian sulit si pemakai) dan pada masa yang sama, menonjolkan kepada masyarakat hal-hal yang boleh mencapai kejayaan daripada sebuah proses pendemokrasian (menonjolkan bahagian tubuh badan yang lain).

YB ini, di satu sisi, muncul sebagai barisan ahli parlimen pembangkang yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib masyarakat yang pastinya turut melibatkan nasib pengundi kawasan parlimennya.

Ia merupakan sebuah cerita yang cukup indah dan mengasyikkan dan pada satu bahagian lain pula, memperlihatkan kematangan politik yang amat cetek dan memalukan yang turut memalit lumpur kepada keseluruhan barisan ahli parlimen pembangkang itu sendiri.

Apa yang di tonjolkan oleh YB ini juga tidak jauh bezanya dengan rahsia filem dokumentari The Blair Witch Project yang pada awalnya didakwa sebagai sebuah filem benar dan kemudiannya barulah diketahui bahawa filem berkenaan hanyalah rakaman semata-mata.

Segala gangguan di dalam hutan dilakukan oleh krew filem, malah aspek promosi merupakan pembohongan terbesar dalam filem itu, apabila menyatakan rakaman dan kehilangan pelakon-pelakon itu benar-benar berlaku.

Walaupun ia hanya sekadar filem, The Blair Witch Project meninggalkan kesan mendalam kepada penonton dan mencetuskan fenomena dikenali 'sindrom kepercayaan sebenar' sehingga menyebabkan ramai penonton mengunjungi lokasi kejadian.

Justeru, The Blair Witch Project digelar misteri yang paling menipu dalam sejarah.

Begitulah juga dengan sesetengah individu yang pada awalnya menabur segala macam janji dan harapan kepada rakyat bahawa sanya merekalah yang terbaik, terunggul dan tiada yang lebih layak selain diri mereka sendiri untuk membela nasib rakyat, hinggalah suatu hari individu-individu ini mempamerkan sendiri tahap mentaliti politikus mereka kepada umum.

Dengan politik bikininya yang berusaha untuk meyakinkan rakyat dan kemudian menanam 'sindrom kepercayaan sebenar' dalam pemikiran rakyat, maka individu-individu ini menganggap bahawa tiada mana-mana kuasa kebal yang dapat menandingi mereka.

Sedangkan mereka terlupa bahawa masih ramai sedang memerhatikan gerak-geri mereka ini termasuklah tingkah laku si YB yang asyik dengan kameranya.

Harus diingat bahawa etika dan akhlak masyarakat dalam penerapan prinsip demokrasi dan politik, bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh seseorang wakil rakyat di parlimen, yang juga mampu mewujudkan 'sindrom kepercayaan sebenar,' semata-mata untuk mengaburi pengundi dan menguasai politik negara.

Seterusnya, politik bikini menjadi pendekatan politik yang hanya akan mencemar imej institut parlimen negara.

No comments: