Monday, June 2, 2008

Anwar Ibrahim 3.0

Banyak catatan yang tidak kita ketahui mengenai tokoh yang mendapat rating dalam Majalah Time, antara 100 individu yang paling berpengaruh. Beberapa dekad ini dunia mengikuti perkembangan DSAI yang dinamakan sebagai PM in the waiting. Kita ikuti catatan Pak Khalid Jaafar mengenai beliau.


Apa ceritanya dengan Anwar Ibrahim 3.0?
Wednesday, June 28, 2006

Seorang bertanya persoalan ini di dalam Anwar Ibrahim 3.0:
Semasa drama paling glamour DSAI berlangsung, saya baru melepasi peringkat sekolah. Saya betul2 mula mengenali DSAI di akhir versi 2.0 DSAI. Nothing much to say berbanding mereka yang lebih tua dari saya yang mungkin hidup sejak zaman versi 1.0 DSAI. Saya dilatih supaya tidak taksub/mengagungkan/mengidolakan(name what ever term) sesiapa melainkan ilmu/kepimpinan yang ada kepada seseorang. Saya mengkagumi ilmu/kepimpinan/siasah yang ada pada DSAI. Saya ingin bertanya, apakah major changes dari versi 2.0 dan 3.0 DSAI selain yang boleh didapati dalam media perdana. Jika satu program(software) bertukar versi maka akan ada satu log file yg menyatakan perbubahan2 yang berlaku. Sudilah kiranya didetailkan perbezaan tersebut.
Sudah lebih setahun rakan-rakan Anwar Ibrahim mencadangkan beliau membuat blognya sendiri. Kami ketika itu masih di Amerika, tepatnya di Herndon yang jauhnya 40 minit dengan kereta dari Washington D.C. Gaya dan ghairah cakapnya saya merasakan beliau memang kepinginkan blognya sendiri. Saya ketika itu sudah jadi blogger, tetapi baru blogger hangat-hangat tahi ayam. Buat dua tiga posting lepas itu berhibernasi selama enam bulan. Skunk di Herndon pun tidak berhibernasi sebegitu lama dimusin sejuk. Namun saya merasakan angan-angan AI itu tidak akan berhasil. Blog tidak sama dengan website. Website boleh diusahakan oleh orang lain. Tetapi blog adalah interaksi tanpa perantaraan antara si empunya diri dengan individu khalayaknya dan interaksi ini diperhatikan oleh pengunjung-pengunjung lain.
Kemudian saya pulang ke Kuala Lumpur, tiga bulan lalu. Rupa-rupanya udara Kuala Lumpur lebih meransang. Maka saya menjadi blogger yang aktif. Saya masuk blog orang, orang masuk blog saya. Saya bawa kawan-kawan saya masuk blog orang, orang bawa kawan-kawannya masuk blog saya. Saya masuk blog orang muda, orang muda masuk blog orang tua. Saya cuit orang, orang cuit saya. Saya kata orang, orang kata saya balik. Satu blogger muda kata saya buta HTML. Saya belajar alif-ba-ta HTML. Cukup sampai jim, tak sampai ya. Dalam lawat melawati blog ini saya bertemu kawan lama yang telah terpisah selama suku abad. Dan dia seorang aficionado ruang siber. Darinya saya mempelajari satu semi satu creative destructions yang berlaku siling berganti di dunia maya. Dia juga bertanya: "Kenapa Anwar Ibrahim tidak buka blog?" Saya memberikan penjelasan dan dia mengerti. Kemudian blog kawan itu memperkenalkan "podcasting." Dan saya belajar buat eksperimen "podcasting." Dan berjaya. Maka saya meninggalkan beberapa blogger-blogger muda beberapa tahun cahaya di belakang. Tetapi lebih penting dari itu podcasting membuka kemungkinan Anwar Ibrahim membuka blognya sendiri. Maksudnya menyampaikan mesej dan menjawab soalan melalui podcasting. Maka lahirlah Anwar Ibrahim 3.0. Kemudian response mulai datang. Dan ada yang membawa beberapa karung soalan. Dia menjawab melalui email dan jawapan itu diuploadkan oleh seorang sukarelawan pentadbir. Soalan datang, dia jawab lagi. Saya tengok makin rancak. Semalam di beritahu pagi pagi di buka blog, tengok komen, jawab komen. Dia juga mencuri masuk blog orang lain. Wah, nampaknya Anwar Ibrahim sudah syok main blog. Blogger muda, siaplah korang!
Tetapi kenapa dinamakan Anwar Ibrahim 3.0?

Babad Pendekar Jawa 5
Saturday, July 21, 2007

Kawan-kawanku, ada suatu pelajaran terpenting yang saya perolehi dalam tiga puluh tahun berdampingan dengan Anwar Ibrahim, Anwar Ibrahim dalam ketiga-tiga jelmaannya dalam ruang awam: Anwar Ibrahim 1.0, Anwar Ibrahim 2.0 dan Anwar Ibrahim 3.0 -- Politik itu pendek, tetapi perjuangan itu panjang.

Politik, kata Anwar dalam jelmaan 1.0, merupakan "uncharismatic and low morale profession." Politik yang kelam dengan intrik, sepak terajang, fitnah dan adu domba, memburu kuasa, harta dan kedudukan. Dua minggu yang lalu, di Kota Bharu, Anwar memberikan wacana tentang "guiding ideas" atau ide pendorong dalam perjuangan dalam perjumpaan Angkatan Muda Keadilan. Beberapa hari selepas itu wacana tersebut diulangi di Ampang. Amat bertepatan beliau mengulangi wacana idea pendorong itu kepada AMK kerana ramai pemuda-pemuda Keadilan yang telah tidak dapat membedakan antara politik dengan perjuangan akibat dari gaya politik tidak cerah yang dibawa oleh pendekar Jawa kita semasa menjadi ketua AMK.

Konsep idea pendorong datangnya dari pemikir Algeria Malik Bin Nabi. Idea-idea Malik Bin Nabi sungguh mengesan pada Anwar kerana saya mendengar beliau mengupasnya di dalam Abim. Pemikiran Malik Bin Nabi beliau sebut dalam ucapan dasar pertamanya sebagai ketua pemuda Umno. Dan sekarang dalam jelmaan 3.0 Anwar sekali lagi mengangkat pemikiran Malik Bin Nabi. Dan siapa yang mahu setia dengan perjuangan Anwar Ibrahim perlu mengunyah pemikiran Malik Bin Nabi. Dan tulisan-tulisan pemikir itu keras, sukar dikunyah. Pemegang Diari Merah bukanlah orang yang gemar membaca. Maka bos kami menyediakan program tanwiri, iaitu pencerahan, untuk setiausaha sulitnya. Jika ingatan tidak mengkhianati saya buku pertama yang beliau paksakan kepada Azmin adalah buku Malik Bin Nabi. Akibatnya kawanku itu mengalami intellectual indigestion.

Dari segi pembacaan pendekar Jawa kita lebih baik. Tetapi pembacaannya tidak mengikut cara gaya Anwar Ibrahim. Mungkin lebih dekat kepada Sanusi Junid. Sedikit masa dahulu dalam Umno hanya tiga orang membaca: Mahathir, Anwar dan Sanusi. Mahathir gemar membaca buku-buku pengurusan dan suatu masa mewajibkan pegawai-pegawai kerajaan membaca The Mind of the Strategist yang tulis oleh Keinchi Ohmae. Ketika Mahathir sibuk mempromosi Ohmae saya sedang asyik membaca F A Hayek dan ahli-ahli ekonomi dari Mazhab Chicago yang membuka ufuk baru pemikiran saya dan membawa penemuan kepada liberalisme. Dari dulu saya tidak melihat Ohmae seorang pemikir serius yang perlu dicanangkan oleh seorang perdana menteri. Maha Firaun itu juga gemar membaca buku-buku spy maka otaknya penuh dengan konspirasi. Buku-buku yang dibaca oleh Sanusi menggerun saya. Kebanyakannya biografi diktator - Hitler, Stalin dll. Semasa menjadi wartawan saya selalu hadir dalam sidang akhbarnya dan satu hari dia dengan bangganya mempamirkan buku yang beliau sedang baca, biografi Napoleon. Sanusi juga dengan kembang ketiak mengatakan Lew Kwan Yew telah mencuri ideanya tentang eugenic selection dan melaksanakannya di Singapura. Maka saya tidak hairan bila ada mendengar orang mengatakan ada satu satu skrew longgar di kepala Sanusi.

Pembacaan Anwar Ibrahim, pada telekan saya, boleh adukan padanya kalau saya silap, adalah satu amalan humanistik. Maka buku-buku bacaannya adalah tentang sejarah, sastera dan sejarah falsafah dan idea. Dia pernah datang ke sekolah saya di Seremban ketika saya di tingkatan empat. Saya tidak ingat lagi satu apapun yang beliau syarahkan. Namun saya ingat dia menyebutkan nama Arnold Toynbee, ahli sejarah agong abad ke-20. Semasa beliau memimpin Abim beliau banyak membaca tulisan-tulisan tentang Islam dari tokoh-tokoh gerakan Islam. Kebanyakan aktivis Islam, termasuk pemimpin-pemimpinnya, membataskan bacaannya kepada buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh gerakan seperti Syed Qutb, Maududi, Fathi Yakan dan sebagainya. Tatkala belajar di ITM saya sering ke pejabat Abim yang ketika itu di Jalan Pantai Baru. Bila saya ke pejabatnya saya selalu mendapati di meja buku-buku sains sosial yang ditulis oleh Gunnar Myrdal, kritikan sosial dan suara-suara Dunia Ketiga. Maka ideanya tidak datang dari satu sumber. Satu hari saya membuat liputan ucapannya. Dia ketika itu menteri pendidikan. Saya terperanjat dia berwacana tentang novel, dan novel-novel itu memang hasil sastera yang terbaik, hasil tangan Umberto Eco, Primo Levi, Italo Calvino. Tentang novel sastera semasa saya agak, mungkin amat, terkebelakang. Hanya novel-novel Philip Roth menjadi tumpuan saya. Memang suatu yang menakjubkan bagi seorang pemimpin gerakan Islam membaca novel. Membaca novel memang satu amalan humanistik dan amalan tersebut menuntut toleransi terhadap hak imaginasi.

Dalam Umno sekarang kita tidak tahu siapakan yang masih membaca. Dalam kabinet Mahathir pm sekarang terkenal sebagai orang tidak tidak membaca kerta kabinet. Harap-harap ada wartawan menanyakan tajuk buku terakhir yang beliau baca. Tentang orang nombor dua sekarang boleh saya babadkan satu kisah yang saya terima dari sanad yang agak sahih. Anwar Ibrahim, ketika itu tpm, membeli beberapa naskah edisi kulit keras Diplomacy yang ditulis oleh Henry Kissinger untuk diberikan kepada beberapa orang kawannya dan antara penerimanya adalah Najib Tun Razak. Mantan setiausaha negara Amerika itu datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosi bukunya. Anwar menjemput kawan-kawannya, termasuk Najib, untuk meraikan Kissinger dengan sarapan pagi. Tpm itu memberitahu kawan-kawannya supaya bersedia kerana Kissinger akan membicarakan bukunya. Najib tiba dengan rungutan bahawa Diplomacy terlalu tebal, dia hanya sempat membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Bila Kissinger sampai dia memulakan wejangannya dengan menyebut kritikan terhadap bukunya. Ianya terlalu tebal dan kebanyakkan pembaca hanya membaca pengantar dan penutupnya sahaja. Katanya Najib tersipu-sipu.

Saya yakin pembacaan Ezam tidak seburuk pembacaan Sanusi. Dia suka membaca biografi . Namun bacaannya tidak bersifat humanistik yang merupakan tunggak bacaan orang yang beliau anggap sebagai mentor atau bapak. Apabila saya mula mengikuti Anwar Ibrahim, saya masih di awal 20an, saya membaca semua tulisan-tulisannya dan semua buku-buku yang disebut dalam nota kakinya. Maka saya membaca Ivan Illich, Paulo Freirei dan Franz Fanon. Namun saya tidak memanggil Anwar mentor saya.

Saya telah menyaksi begitu ramai yang mencium tangan Anwar dan memanggilnya mentor, kesemunya lesap. Hishamudin Tun Hussein menghadiahkan Kamus Wilkinson yang dibelikan oleh Karim Raslan dari sebuah kedai buku antiquarian di London kepada Anwar pada hari jadinya. Tidak perlu saya kemukakan sanadnya. Saya terserempak sendiri dengan Karim ketika dia membelinya dan dia membisikan untuk siapa dia membeli kamus lama itu dan kepada siapa olrangnya kamus itu akan diberikan. Bila kami kembali ke tanah air saya membertahu pemegang Dairi Merah yang ketika itu sahabat intim Hishamudin. "Min, Hisham akan berikan hadiah untuk hari jadi bos. Aku dah tahu apa hadiahnya." Hishamudin kadang-kadang datang lepak di pejabat Azmin. Begitu sayangnya Azmin dengan Hishamudin sampai dia sanggup derhaka dengan bosnya. Dalam pertandingan untuk jawatan naib ketua pemuda Umno Anwar Ibrahim menyokong Fatah dari Selangor. Tetapi dalam diam-diam Azmin memandai-mandai membisikan kepada pemuda supaya menyokong Hisham. Dan Hisham menang. Akibatnya tiga bulan tpm tidak bercakap dengan susnya. Selama tiga bulan Azmin seperti hidup dalam neraka. Namun Dairi Merah tidak jua lepas dari tangannya.

Bila Kamus Wilkonson sampai Azmin menunjukannya kepada saya. Dalam kamus itu, dengan tulisan tangan yang amat feminin, Hishamuddin menuliskan kata-kata sanjungan kepada Anwar setinggi petala langit ke tujuh untuk Anwar. Anwar adalah gurunya, sanjungannya, ikutannya dan lain-lain kata munafik.

Dua tahun lalu, di Ipoh, pendekar Jawa kita berkata di perhimpunan AMK bahawa dia masuk Umno kerana Anwar Ibrahim dan dia keluar Umno kerana Anwar Ibrahim. Perwakilan AMK memberikan tepukan gemuruh. Kawan-kawanku, baru-baru ini apabila Ezam memanggil Anwar sebagai "mentor" dan "bapa" maka saya teringat apa yang ditulis oleh Hishamudin dalam Kamus Wilkinson.

No comments: