Monday, June 2, 2008

Pendakian oleh Khalid Jaafar

Beberapa catatan pengalaman Khalid Jaafar bersama DSAI yang menarik perhatian Pak Utih untuk saya rakamkan dalam blog ini.

Sumber: khalidjaafar
"Kami dari Switzerland," pasangan ini menjawab pertanyaanku. "Apakah tidak ada gunung di sana?" soalku lagi. "Kami dari Basle, tidak ada gunung di sana."
Aku tahu ada gunung di Switzerland, dan puncaknya putih diselaputi salji. Dikala kecil khayalanku berkata tidak ada gunung secantik Matterhorn, gunung yang berdiri gagah di sebuah kampong Swiss yang bersempadanan dengan Itali. Sewaktu aku belum mendengar nama Gunung Kinabalu aku sudah melihat Matterhorn dan latas jatuh cinta padanya. Dan aku melihat Matterhorn di kotak rokok yang menggunakan nama yang sama. Masa mudanya arwah bapaku ketagih rokok. Sambil menghembuskan kepulan asap Matterhornnya arwah itu memberi amaran keras padaku: "Kau besar nanti jangan hisap rokok!" Hingga sekarang amaran itu aku patuhi. Maka saya hanya hisap sisya.
Hanya dua kali aku sampai ke negeri sejuk itu. Kali keduanya ke Geneva, mengiringi Nurul Izzah yang memberikan pidato pembelaan untuk bapanya di Persidangan PBB tentang Hak Asasi Manusia. Kerana dia pemidato paling muda, dan paling cantik, maka dia diberikan tepukan paling gemuruh. Pidatonya juga paling berisi. Kali pertamanya, beberapa tahun sebelum itu, ke Davos, mengiringi bapa Nurul Izzah. Davos kini diikat dengan World Economic Forum, ijtimak tahunan sistem kapitalisme global. Namun saya meluat dengan World Economic Forum, dan perayaan tahunannya dimusim salji bagiku meloyakan. Suatu hari saya bertemu Razak Baginda dan kukatakan padanya," saya baru pulang dari Davos." Dan Razak mengatakan betapa kepinginnya untuk menyertai WEF. "Aku akan menulisnya dalam CV aku."
WEF hanya pentas promosi mereka yang berpengaruh pada saat dan ketika orang itu berucap. Namun tempat terlancarnya jihad melawan musuh-musuh kebebasan dalam segala jelmaanya --komunisme, Marxisme, dan Keynesianisme -- adalah di sebuah hotel peranginan Swiss di Mont Pelerin. Maka dalam tahun 1947 bertemulah gergasi-gergasi -- Hayek, Popper, Von Mises, Walter Lippmann -- di hotel tersebut untuk menyelamatkan dunia dari virus etatisme, ideologi yang terlalu mempercayai negara. Dan pada pemikir liberal ini negara adalah ancaman kepada kebebasan.
Switzerland juga meningatkanku pada Lugano, sebuah bandar kecil di tebing tasik. Kerana kecantikannya semakin ramai selebriti yang membeli rumah di sana. Saya tidak pernah sampai ke sana, tidak juga kuketahui mana selebriti yang menginap di situ. Ingatankanku ke Lugano hanya pada Yusuf Nada, nama yang perlu kuperkenalkan kepada mereka yang ketagih mengikuti labirin hidup Anwar Ibrahim. Sejak dari seorang pelajar lagi Anwar membertahuku dia ada seorang kawan di Switzerland. Dia tidak menyebut nama orang itu tetapi menyebutnya seorang jutawan dan seorang Ikhwan. Saya tidak hairan Anwar Ibrahim, ketika itu presiden Abim, mempunyai seorang kawan dari kalangan Ikhwan. Tetapi kawannya seorang jutawan agak menakjubkan. Tetapi menggabung kawan-jutawan-Ikhwan adalah seperti menggandakan ketakjuban. Dan Anwar menunjukan jam tangan mahal yang dihadiahkan oleh kawan-jutawan-Ikhwannya.
Akhirnya bertemu jutga dengan Yusuf Nada yang datang ke KL bila Anwar menteri kewangan. Dan jutawan itu tidak dibenarkan oleh Anwar menginap di hotel. Di mesti mengidap di 8 Jalan Setiamurni 1. Kerana dia Ikhwan dan saya dari Abim dan saya diarahkan menjaganya. Dan pemegang Dari Merah yang penuh firasat senang sekali boss menyuruh saya melayani Yusuf. Setelah dua hari baruku fahami makna senyuman Azmin. Arab, meskipun Ikhwan, meskipun sudah berenang di tasik Lugano dan mendaki gunung Matterhorn, peragainya tetap sama. Yusuf Nada lari dari Mesir dizaman kekejaman Gamal Abdul Nasser. Saya tidak tahu apakah dia lari bersama Said Ramadhan, menantu Hassan al-Banna. Dia menceburi dunia bank dan jadi kaya raya dan akhirnya memiliki sebuah bank di Switzerland. Tetapi kemudian saya ketahui kunjungan Yusuf Nada ke KL bukan sekadar untuk menemui dan tidur di rumah kawannya yang sudah menjadi menteri kewangan. Yusuf Nada ingin membertahu Anwar bahawa Bank Negara melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh sebuah bank pusat, iaitu terlibat dalam spekulasi mata wang untuk membuat keuntungan. Bank pusat boleh melakukan "hedging", tetapi tidak boleh melakukan spekulasi. Apabila Anwar, yang baru mengambil alih kementerian tersebut dari Daim, membuat siasatan Bank Negara sudah kerugian 12 billion ringgit. Anwar memanggil Gabenor Tan Sri Jaafar Hussein dan timbalannya Dr. Lin See Yan ke kediaman. Saya turut hadir kerana ia berkenaan ucapan, Anwar tidak mahu menutup skandal itu, sebaliknya akan membentangkan apa yang berlaku pada Dewan Rakyat. Kerugian 12 bilion ringgit, rakyat perlu tahu. "Kerugian sebenar ini tidak boleh dipertahankan," kata Tan Sri Jaafar. Dia tidak menuding kepada sesiapa, dia menerima kesilapan itu dan kemudiannya meletakan jawatan sebagai Gabenor Bank Negara. Tetapi dari mulut Lin See Yan saya dapat tahu petualangnya adalah Nor Mohamad Yaakob, orang kesayangan Gabenor. Dr. Lin menggunakan istilah "blackball", Nor berlagak seperti samseng dalam pasaran forex. Dan akhirnya tangannya terbakar. Menteri kewangan menyingkirkan Nor dari Bank Negara kerana menyebabkan kerugian 12 bilion.
Anwar melalui kepayahan selepas krisis matawang dan kemudian bebas. Dihari kebebasannya adalah hari pertama saya di Iowa. Setelah tiga bulan di Amerika saya pulang ke Jalan Telawi, ingin berhenti dari politik dan bertekad untuk berjuangan untuk Pencerahan. Pemegang Diari Merah datang ke IKD, meskipun diari merah sudah tiada lagi namun Anwar Ibrahim secara tersirat masih mahukan Azmin memegang peran tersebut. Inikah punca kejengkelan Pendekar Jawa? Kata Azmin yang membawa pesan, boss mahu saya ikut dia ke Oxford beberapa bulan dan selepas itu ke Washington. "Sebagai apa?" tanyaku. Dan Azmin pun ketawa berderai. Kemudian dia kembali serius dan mengulangi pesan. "Bukankah kita semua udah merdeka?" Azmin ketawa lagi, kemudian serius kembali dan pesan diulang. Maka kamipun ke Oxford dan Azmin turut serta ikut serta kira-kira seminggu. Dalam seminggu itu satu rahsia Azmin terbongkar. Dia pandai memasak! Dia masak ikan salmond untuk kami, saya juga membantu, sekadar memotong bawang. Kemudian boss dan memnya ke Lugano untuk beberapa hari dan kembali ke apartmen di Oxford membawa kisah sedih. Yusuf Nada menjadi korban "War on Terror". Yusuf Nada yang hidup senang lenang di Lugano berdekad-dekad memberikan bantuan kewangan kepada gerakan Islam dan institusi-institusi Islam dan selepas 9/11 institusi-institusi itu disyaki oleh perisikan Amerika telah digunakan oleh pengganas sebagai saluran pemindahan dana mereka. Bank Yusuf Nada dibekukan dan pasportnya dirampas. Jutawan itu jatuh miskin. Bila mereka ingin berpisah Anwar menitipkan sedikit kepada kawannya. Mantan jutawan itu menangis dan menolaknya, dia menjangkakan dialah yang akan membantu Anwar untuk membangun semula perjuangannya bila dibebaskan. Anwar memaksa kerana dia tahu kawannya memerlukannya, meskipun pemberiannya tidak akan mencukupi.

No comments: