Friday, April 24, 2009

Rungutan orang Umno

Pada mulanya Pak Utih tidak berminat untuk membicarakan isu ini, tetapi memandangkan keadaan politik negara kita semakin kompleks. Perbincangan mengenai hal-ehwal dalaman telah merentas parti berlaku, saling menghulur peluru untuk ditembak kepada parti sendiri juga telah berlaku dengan agak galak seakan-akan tidak dapat dikawal.

Kalau dulu amalan ini hanya dilakukan oleh pemimpin parti UMNO sahaja, tapi kni wabak ini sudah merebak ke parti-parti lain. Kita mungkin dapat memahami kalau mereka ini lahir dan terdidik oleh Universiti UMNO! Tapi bagaimana pula kalau ia lahir dari institusi yang sama?

Perasaan amarah dan geram Pak Utih bertambah bila membaca blog Dakwat dan Kertas, bagi Pak Utih blog ini sama tarafnya dengan blog pencacai UMNO yang lain - jadi dengan itu menurunlah perasaan amarah dan geram Pak Utih.


Pak Utih berasa sangat keliru bila membaca tulisan-tulisan di laman tersebut. Pada usia Pak Utih yang hampir setengah abad, Pak Utih telah enam kali mengundi dalam PRU, pada usia muda Pak Utih - Pak Utih pernah terlibat dalam penajaan cawangan UMNO di kampung Pak Utih. Pak Utih telah menyaksikan jenayah-jenayah UMNO terhadap orang Melayu dan Bahasa Melayu.

Apa yang mengherankan ialah keahlian Pak Utih masih lagi dalam daftar Parti UMNO walaupun Pak Utih tidak pernah membayar satu sen yuran pun sejak menjadi ahli, tapi hanya sekali sahaja Pak Utih mengundi UMNO dan BN iaitu pada awal tahun 1980an - kali pertama Pak Utih mengundi selepas itu undi Pak Utih, Pak Utih hadiahkan kepada PAS dan kalau PAS tidak bertanding Pak Utih hadiahkan undi kepada PKR dan lain-lain komponen PR. Untuk mengundi UMNO tidak sama sekali! Parti pengkhianat bangsa Melayu, yang memainkan sentimen Melayu bila terdesak dan ingin mendapatkan kuasa - tapi bila dah dapat apa yang dihajati, habis manis sepah dibuang.

Pada PRU13 nanti insyaAllah 4 orang dari 8 orang anak Pak Utih layak untuk mengundi. Kalau mood hari ini kekal, insyaAllah tambahan 4 undi untuk PR dalam PRU13.

Juga menjadi kemuskilan Pak Utih ialah saki baki golongan agama dan penyokong DSAI masih menginginkan beliau kembali kepada UMNO! Malah seorang Professor yang menyatakan secara terbuka hasrat itu dalam satu perbualan bersama-sama kawan-kawan Pak Utih selepas pembentangan kertas kerja modal insan di Kelantan tidak lama dulu.

Bagi yang tidak sempat membaca Harakah Pak Utih tampalkan artikel yang Pak Utih salin dari laman Harakah

----------------------------------
Rungutan orang Umno terhadap Najib
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Mon | Apr 20, 09 | 11:46:18 am MYT

"Apa khabar saudara, bagaimana dengan Presiden Umno, PM baru, Kabinet baru," soal penulis ketika terserempak dengan sekumpulan penyokong tegar yang juga penulis pro Umno di sebuah kedai kopi di pinggir ibu kota.

"Ah...malas nak cakap, kita orang dah fed up..malas nak ambil tahu, lantak lah Umno nak jadi apa," jawab seorang yang berbadan besar.

"Apa pasal pulak bunyi lain macam je kau orang ni..bukan ke kau orang dah berjaya buang Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi)," soal penulis seperti 'menjolok sarang tebuan.'

"Apa yang korang marah sangat ni, bukankah korang yang hendak sangat Presiden baru, PM baru," jolok penulis lagi.

"Ini yang kita orang 'angin' ni, ingatkan bagus sangat daripada 'si lembik tu', tapi kita orang dapat 'si penakut'," kata seorang yang bermisai lebat 'ala-ala Sarjan Misai'.

"Aku bimbang Umno ni, dulu kerajaan tiga beranak, sekarang macam nak jadi kerajaan suami isteri," kata yang berbadan besar tadi, tanpa menjelaskan maksud di sebalik kata-kata beliau.

"Dulu kita hentam Dollah, kata beliau buat keputusan parti dan kerajaan sewaktu sarapan pagi dengan anak beranak, sekarang ini kita bimbang banyak keputusan dibuat dua orang dalam kelambu," kata seorang lain dengan nada kesal dan kecewa.

Daripada pengamatan penulis, ada antara 'geng coffee house' yang sudah turun darjat menjadi 'geng kelab kopi kedai bawah pokok', adalah antara golongan yang kecewa dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walhal, merekalah antara penjaja kejatuhan Abdullah dan kroni-kroni. Ada antara mereka yang mengenali Najib dengan rapat sewaktu menjadi anggota biro-biro dalam Pergerakan Pemuda Umno lagi.

Berdialog dengan lebih lanjut, mereka menghuraikan antara sebab-sebab kekecewaan adalah kelemahan Najib yang didakwa tunduk kepada kehendak MCA, sehingga terpaksa membuat slogan One Malaysia.

"One Malaysia ni sama dengan slogan DAP Malaysian Malaysia, apa pasal pulak Najib nak ikut idea DAP.

"Aku ingat ini pasal Najib nak cuba menang balik hati Cina (pengundi), yang dah tolak BN," sampuk seorang rakan.

"Kita orang marah betul bila Najib bagi kuota Menteri banyak pada MCA, padahal dalam PRU lepas MCA yang banyak kalah, prestasi Umno lebih baik.

"MCA memang melampau, mereka tak fikir hati (orang) Umno, dah la tak mampu pertahan kerusi Cina (kawasan majoriti pengundi Cina), lepas tu tuntut pulak TPM," ujar mereka melepaskan geram.

Perbualan dengan lingkaran orang-orang Umno di kedai kopi tadi menjadi semakin panas, bergelas teh ais dan teh tarik dipesan berulang-ulang kali.

Nampaknya reform yang dicanang Najib dan penyusunan Kabinet barunya tidak diterima baik di kalangan Umno.

Sambil menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul dan menghela nafas yang panjang, seorang rakan berkata,"Aku cukup kecewa bila Najib mansuhkan Kementerian Usahawan. Situlah tempat nak tolong Melayu, kat situlah tempat peniaga kecil Melayu cari makan.

"Ini semua pasal nak tunjuk adil. Kononnya nak beritahu orang Cina yang kerajaan baru ini tidak pilih kasih dan beri layanan sama rata kepada semua," katanya lagi.

Sampuk seorang rakan,"Aku takut langkah Najib ini boleh bunuh bumiputera (jejas peluang berniaga)."

"Lembik-lembik Dollah pun dia cukup tegas dengan kaum Cina, tak bertolak ansur untuk pertahan hak Melayu," kata seorang rakan yang lain.

Jika hendak dicatat rungutan demi rungutan orang Umno ke atas Najib, cukup banyak. Tetapi cukuplah buat sementara ini, direkodkan betapa wujudnya kalangan orang-orang Umno yang amat kesal dengan Najib.

Ternyata Najib memulakan langkah pertama sebagai Presiden Umno dan PM dengan langkah yang amat sumbang.

Belum pun sebulan beliau menjadi Presiden Umno dan PM, orang-orang Umno sudah mula membandingkan keupayaannya dengan Abdullah Badawi.

Nampaknya walaupun peralihan kuasa sudah berlaku, tetapi segala-galanya tidak berjalan dengan lancar sebagaimana dikehendaki kumpulan yang menyokong Najib.

Ada yang kecewa tidak dilantik Menteri, ada yang kecewa tidak diberi peluang dan ada yang kononnya kecewa kerana masa depan orang Melayu tergadai akibat 'ketakutan' Najib kepada parti-parti komponen BN.

Hasrat Najib untuk menjadi PM yang lebih baik atau lebih popular dari Abdullah, nampaknya sukar menjadi kenyataan.

Beliau 'berjaya' menjadi Presiden Umno dan PM. Tetapi malang buat beliau, kerana Umno dan kerajaan yang diambil alihnya berada dalam keadaan tempang dan terumbang-ambing.

Umno-Bn kini berada dalam keadaan yang amat sensitif dan serba kekalutan kerana sokongan rakyat terhadap mereka semakin menyusut.

Rakyat sedang memerhatikan Umno dan lain-lain komponen BN. Rakyat juga sedang menunggu masa yang sesuai untuk menghukum Najib jika beliau tersilap langkah.

Kedudukan Najib sebenarnya berada dalam keadaan yang amat bahaya jika reform dan beberapa langkah yang diambilnya tidak mendapat sokongan akar umbi Umno dan tidak diterima baik oleh komponen BN.

BN menghadapi masa depan yang gelap kerana masalah dalaman yang kronik dan berterusan.

Masanya sudah tiba untuk digantikan mereka dengan Pakatan Rakyat menerajui negara dengan seberapa segera yang boleh.

No comments: