Friday, May 15, 2009

13 Mei 1969 - Nostalgia yang tidak mahu ku lupakan

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia.
Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Isu perkauman dalam pilihan raya 1969

Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihanraya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia. Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.

Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah mengalami kekalahan yang teruk dalam Pilihan Raya 1969. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Perikatan telah kehilangan majoriti dua-pertiga dalam Dewan Rakyat.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Sebab terjadinya Peristiwa 13 Mei 1969 adalah perarakan kemenangan pihak pembangkang. Penyokong-penyokong Parti Gerakan telah mengutuk dan menghina orang-orang Melayu semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Mageran dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Parlimen dibubarkan.

Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku Abdul Rahman dipersalahkan oleh orang Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970. Buku "Dilema Melayu" ("Malay Dilemma") oleh Tun Dr Mahathir telah diharamkan. Dikatakan Tun Dr Mahathir memburuk-burukkan Tunku Abdul Rahman.

Ironinya, rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tidak ada sebarang pergaduhan.

Malah di Kelantan. Kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepanjang rusuhan perkauman pada tahun 1969 itu, “bulu roma orang Cina pun tak gugur di Kelantan”.

Rakaman peristiwa di Wikipedia Bahasa Melayu

---------------------
Siapa Dalang Sebenar?
---------------------

Kenyataan Akhbar oleh Hajjah Marina Yusoff

Sedar dan besarlah Hishammuddin

Saya merujuk kenyataan di dalam akhbar New Straits Times bertarikh Rabu, 6 Oktober 1999 serta laporan polis yang dibuat ke atas saya oleh Pemangku Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang merujuk kepada ucapan yang dibuat oleh saya di Pulau Pinang pada 29 September 1999.

Laporan akhbar New Straits Times pada 6hb Oktober 1999 dan media yang di-kuasai Kerajaan , termasuk Utusan Malaysia bertarikh 11 hb dan 12 hb Oktober 1999, adalah salah, mengelirukan dan juga berniat jahat serta bertujuan untuk menimbulkan hubungan buruk antara kaum. Hakikat bahawa pembohongan buruk ini yang telah menyebabkan Datuk Harun terlantar di hospital adalah suatu perkara yang amat serius dan seandainya berlaku sesuatu kepada Datuk Harun, saya memegang pihak Umnolah yang bertanggungjawab, terutamanya Datuk Hishammuddin dan pasukan pemuda Umnonya.

Saya amat memandang berat perkara ini dan tindakan yang tidak bertanggungjawab dalam memutar –belitkan keadaan sehingga menjadikannya suatu pembohongan jahat yang berhasrat untuk menimbulkan hubungan buruk antara saya dan Datuk Harun. Datuk Harun adalah pelanggan saya dalam satu kes undang-undang di mana Kerajaan dan pihak berkuasa telah gagal melaksanakan keadilan. Ini berlaku apabila beliau hampir tamat menjalani hukuman penjara dan hampir dibebaskan, pihak berkuasa dengan sengaja dan secara tidak sah mengubah dokumen penjara dengan memadamkan perkataan “serentak” (concurrent) dan menggantikannya dengan perkataan “berturutan” (consecutive), dengan itu memanjangkan hukuman penjaranya. Ini mengakibatkan ketidakadilan terhadap Datuk Harun.


Seperti yang diketahui umum, Datuk Harun pada pertengahan tujuh-puluhan, begitu berkuasa dan popular dan mungkin menjadi calun untuk Perdana Menteri. Pendakwaan memilih telah dilakukan terhadapnya untuk menjadikannya mangsa dan menghapuskan kareer politiknya, seperti yang berlaku terhdapa Datuk Seri Anwar.

Saya juga berpendapat kenyataan Datuk Seri Dr Mahathir sekiranya Barisan Nasional tidak memenangi Pilihanraya Umum nanti akan berlaku tumpahan darah seperti peristiwa 13 Mei sebagai ugutan terhadap masyarakat Cina dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan serta satu ancaman keselamatan terhadap negara.

Dengan menamakan saya sebagai pembelot kerana berani menyatakan kebenaran terhadap salah laku Umno adalah amat tidak patut. Pembelot sebenar adalah Datuk Hishammuddin sendiri yang belot kepada perjuangan politik bapa serta datuknya, Datuk Onn bin Jaafar. Bapanya, Tun Hussein Onn telah disalahkan oleh Dr Mahthir yang dalam antara lain skandal Maminco. Ini telah menghancurkan hatinya dan beliau menyesali tindakannya melantik Dr Mahathir sebagai penggantinya dan telah cuba sedaya upayanya untuk membetulkan kesilapannya. Bahkan semasa beliau meninggal dunia beliau tidak menyertai Umno Baru di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Dalam masa perjuangannya yang diteruskan dan dilaksanakan oleh Tengku Razaleigh, Datuk Hishammuddin masih terlalu kecil dan mentah untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, terutamanya rusuhan 13 Mei.

Saya bertugas di Kuala Lumpur sebagai Peguamcara Jabatan, di Jabatan Amanah Raya pada 13 Mei 1969. Pada pagi itu beberapa orang termasuk dari Pemuda Umno telah datang menemui saya dan menyuruh saya pulang secepat mungkin. Mereka memberitahu saya bahawa rusuhan akan berlaku oleh kerana semua pemuda Melayu telah dipanggil dan berhimpun secara besar-besaran di Kampong Baru. Disebabkan hasutan dari partipembangkang yang menang, pemuda Melayu telah merusuh.

Sungguhpun Umno mungkin tidak menjangka peristiwa tersebut akan mengakibatkan pembunuhan dan tumpah darah, merekalah yang seharusnya bertanggungjawab terhadap peristiwa ini. Pihak yang berkuasa terutamanya pihak Polis sedar apa yang berlaku oleh kerana mereka telah mengeluarkan permit kepada Umno untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan di bandar. Dengan yang demikian pihak polis juga adalah sama bertanggungjawab kerana gagal mengawal keadaan.

Sekiranya Umno Baru dan sayap Pemudanya terus menyalahgunakan undang-undang dan proses Kehakiman untuk kepentingan politik mereka dan menekan sesiapa yang menentang mereka, pada masa yang bersesuaian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Hishammuddin serta mereka yang bertanggungjawab terhadap pembohongan dan kenyataan palsu serta aduan polis yang palsu terhadap saya serta akibat dan kesan dari tindakan tidak bertanggungjawab mereka terhadap orang lain, seperti Datuk Harun.

Hajjah Marina Yusoff
Naib Presiden,
Parti Keadilan Nasional
11 Oktober 1999

No comments: