Sunday, October 11, 2009

MARA gempur peminjam tuntut hutang

Okt 12, 09 12:40pm

Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan akan melancarkan program memungut pelbagai jenis hutang dinamakan "Gerak Gempur Jom Bayar Hutang" peringkat negeri secara besar-besaran mulai bulan depan.

Pengarah MARA negeri Abdul Rahim Taha, berkata program itu bertujuan memungut hutang lapuk berbentuk hutang pinjaman, pembiayaan dan sewa premis perniagaan dan pejabat berjumlah kira-kira RM36 juta.

"Program ini dilancarkan bagi membolehkan MARA memberi pinjaman balik kepada peminjam dan pembiayaan baru untuk pembangunkan usahawan Bumiputera," katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Abdul Rahim berkata, menerusi program itu yang diperkenalkan sejak awal tahun ini, MARA mensasarkan kutipan berjumlah RM33.4 juta dan sehingga bulan lepas pihaknya sudah memungut lebih RM29 juta.

"Dengan pelancaran gerak gempur secara besar-besaran ini, adalah dijangkakan kita dapat mencapai lebih daripada sasaran menjelang akhir tahun ini," kata beliau.

Beliau berkata, MARA Kelantan adalah negeri keempat tertinggi dalam pencapaian pungutan hutang lapuk di seluruh negara melalui kaedah memungut hutang secara mesra pelanggan.

Katanya, melalui kaedah itu pegawainya akan turun padang dengan menemui pemuitang dan membincangkan dari hati ke hati permasalahan yang dihadapi mereka selain mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahim berkata, MARA Kelantan juga akan mengadakan program "Gerakan Tingkatkan Ekonomi Negeri Kelantan" (G-TEN) untuk melahirkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana berkemahiran dalam bidang keusahawanan menerusi Pusat Usahawan MARA (PUSMA)

"Menerusi program ini juga kita akan menghantar lima usahawan dari Kelantan ke Pameran Perdagangan Antarabangsa Vietnam pada Disember depan untuk mempromosikan produk-produk tempatan di peringkat antarabangsa," katanya. BERNAMA

No comments: