Sunday, April 4, 2010

Pakej Projek Jembatan

Kisah Dongeng -

Arakian sebermula tersebutlah kisah di sebuah negeri, seorang Bapak Menteri kununnya melawat rakyat (di musim pilihanraya kecil!). Lima belas tahun lepas, Pak Menteri tersebut telah berjanji untuk membina jalan raya bagi kemudahan rakyat jelata berulang-alik ke kebun dan ke bandar. Projek pembinaan jalan tersebut baru saja dimulakan apabila wakil rakyat bagi kampung tersebut meninggal dunia kerana tertekan dengan desakan rakyat menagih janji pilihanraya 15 belas tahun lepas. Wah bukan main lagi Bapak Menteri mendabik dada dan menunjuk kuasa.

Dalam pertemuan dengan rakyat jelata semasa kempen pilihanraya kecil beliau berjanji untuk membawa projek baru tapi kali ini ialah projek membina jembatan baru. Katanya projek ini adalah hadiah (pilihanraya kecil) kepada rakyat sebagai tanda terima kasih kerajaan terhadap sokongan padu rakyat. Katanya lagi rakyat jelata telah menzahirkan sokongan terhadap dasar-dasar dan slogan-slogan kerajaan. Teramatlah gumbira akan sekelian rakyat jelata yang ada akan puji-pujian dan janji Bapak Menteri.

Akan tetapi terdapat beberapa kumpulan dari rakyat kebanyakan keheranan sesama sendiri. Adapun kehairanan dan ketakjuban itu timbul dari benak mereka kerana di kampung mereka tiada keperluan akan jembatan hatta titi pun.

Ada pun kampung mereka terletak di atas sebuah bukit. Seorang daripada penduduk kampung yang agak terkenal kerana ke'vokal'annya menyuarakan pandangannya kepada Bapak Menteri;

Penduduk:"Datuk dikampung ni tiada keperluan kepada jembatan kerana tiada sungai atau anak sungai yang merentas kampung ataupun menghalang laluan kami berulang alik ke kebun atau ke bandar."

Menteri:"Itu tak mengapa, kalau tak ada sungai kita buat sungai. Saya akan usulkan supaya kerajaan membina sungai di kampung bagi kemudahan rakyat di sini!"

No comments: