Thursday, March 3, 2011

saya terima dengan sabar dan doa

“Ya Allah janganlah beri beban sehingga aku tak mampu menanggungnya”

Begitulah doa Saudara Anwar Ibrahim, ikon dan mentor sebahagian besar kepada gerakan belia dan gerakan Islam di tanah air semenjak tahun 1971 sehingga awal tahun 1982. Benar gerakan belia dan gerakan Islam telah wujud lebih awal lagi tetapi penglibatan saudara Anwar dalam mewarnai gerakan Islam tanah air merubah paradigma dan lanskap kedua-dua gerakan. Walaupun pendekatan dan ekperimen beliau kadang kala menyebabkan kontroversi tetapi kekuatan karisma beliau berjaya menghimpunkan kekuatan dan merapatkan jurang perbedaan pendapat.

Keputusan beliau memasuki Umno pada 29 Mac 1982 telah menyebabkan kucar-kacir gerakan belia Islam yang dipimpin beliau, sebahagian (yang ada pertalian atau berkepentingan dengan Umno) sangat gembira, sebahagian pula tidak bersetuju dan sebahagian besar bersikap tunggu dan lihat.

Fitnah yang beliau hadapi bukan perkara baru tetapi seawal tahun 1990an cuma tidak mendapat liputan meluas media perdana sama ada media cetak atau media elektronik. fitnah tersebut dijalankan dengan secara subversif kerana mendapat lampu hijau dan penajaan dari pihak tertentu. Mungkin kedudukan VVIP beliau ketika itu. Tetapi apabila beliau dipecat dari jawatan TPM dan UMNO pada 2 Sept 1998 segalanya berubah semua agensi kerajaan dan agensi yang ada kepentingan UMNO sekonyong-konyong berubah sikap 180 darjah. Seperti penceritaan Kak Wan (panggilan mesra DS Dr Wan Azizah) segala sahabat dan rakan karib dalam politik tiba-tiba menjauhkan diri dan menghilangkan diri seperti mereka sekeluarga dihinggapi penyakit berjangkit. Memang semuanya sudah suratan dan takdir Allah, dan takdir Allah juga yang menanamkan rasa simpati dan benci kepada pemuka-pemuka UMNO sehingga rakyat jelata memberikan sokongan moral dan kewangan. Mengikut cerita Kak Wan lagi sehinggakan ada Mak Cik Tua yang tidak beliau kenali menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang RM10 kepada beliau menyebabkan beliau mengalirkan airmata keinsafan bagaimana ukhuwwah Islamiah itu sangat ampuh.

Demonstrasi dijalankan saban minggu, belia-belia dan pemuda-pemuda yang mengenali beliau sebagai ikon gerakan belia dan Islam memberi sokongan tanpa diarah. Tentulah PM ketika itu merasa pelik kerana seluruh jentera kerajaan dan jentera tambahan telah digunakan untuk mengubah persepsi rakyat. Sokongan juga melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dan tidak kecuali juga pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadi juara dan jaguh demi matlamat jangka pendek.

Pihak berkuasa keselamatan menjadi binggung kerana beberapa siri penangkapan dibuat tetapi tidak berjaya memberhentikan demonstrasi.

Kesan dari peristiwa 2 Sept 1998 menyebabkan BN kalah teruk pada pilihanraya tahun 2000 dan berundurnya Tun Mahathir secara terhormat.

Dari satu segi penyokong-penyokong beliau melihat mehnah ini satu takdir Allah untuk menyelamatkan beliau dari menjadi 'Firaun Baru' kerana tidak dinafikan semasa beliau menduduki kerusi VVIP beberapa kali pernah beliau menguris hati beberapa ulamak dan pemimpin gerakan Islam semata-mata mahu menjaga kepentingan bos dan wadahnya.

No comments: