Wednesday, January 11, 2012

Veteran ke...... Bekas ke...... Pencen ke..... sama jer....

Bila tengok kemaraan Pakatan Rakyat sukar dibendung masing-masing mula tunjuk berani.... mula tunjuk lurus..... mula tunjuk setia-kawan... kalau tak makan-kawan.....

Macam polis dan tentera pencen.... bila dah bersara baru berkokok..... kalau tak macam lembu kena cucuk hidung... ikut jer....

Harapnya DSAI berhati-hati kami di bawah ni dah serik...... harap sokong, sokong bawa rebah..... Dah berapa kali DSAI diperangkap, dipekena macam-macam.... sampai Saiful dan Eskay pon boleh masuk ofis bekalkan macam-macam maklumat termasuk video kepada UMNO.



Dari blog DSAI

“Veteran Umno: Pembebasan Anwar Saja Tak Cukup”

Ketika pemimpin BN bermegah kononnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat II membuktikan badan kehakiman adil dan bebas, seorang bekas menteri dan veteran Umno berpandangan sebaliknya.

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir yang kini timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) berkata keputusan itu “tidak cukup” untuk menepis persepsi umum yang sering mempersoalkan kebebasan institusi badan kehakiman dari pengaruh kerajaan.

“Ini tidak cukup… Saya harap ia permulaan yang baik, peluang keemasan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya supaya kita semua dapat tidur nyenyak,” katanya yang juga bekas menteri pelancongan dan penerangan.

Kadir menjawab soalan berhubung laporan media arus perdana termasuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata keputusan mahkamah yang memutuskan Anwar tidak bersalah itu membersihkan kerajaan daripada tuduhan campur tangan dan konspirasi politik.

“Bersejarah tetapi mengejutkan”

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “bersejarah tetapi mengejutkan”, Kadir menegaskan ia peluang terbaik bagi memulihkan imej badan kehakiman termasuk pelantikan Ketua Hakim Tan Sri Ariffin Zakaria dilihat berpeluang untuk memperbetulkan persepsi itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Kadir berkata Ariffin tidak pernah terbabit dengan parti politik dan seorang yang ‘takut’ kepada Allah berbanding penyandang sebelum ini Tun Zaki Azmi (kiri) yang pernah menjadi penasihat undang-undang Umno.

Sebelum keputusan diumumkan, Kadir berkata beliau pergi ke kediaman Anwar dan menemaninya sehingga ke mahkamah sebagai tanda rasa simpati dan memberi sokongan kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Katanya lagi, sebelum keputusan diumumkan, beliau percaya 70 peratus Anwar yang juga ketua pembangkang akan dihumbankan ke penjara.

Kawan setia

“Saya adalah kawan yang setia… Dr Mahathir membuatkan saya rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami memang berkawan rapat dan saya betul-betul kasihan kepadanya dengan apa yang berlaku kepadanya… saya simpati kepadanya dan kali ini saya benar-benar bersimpati dengannya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menyokong Anwar dari sudut politik, Kadir dilihat tidak dapat menyembunyikan pujiannya terhadap tokoh politik kelahiran Kampung Cherok Tok Kun, Pulau Pinang itu.

“Saya rasa beliau mempunyai bakat kepimpinan yang hebat. Beliau boleh menjadi pemimpin negara yang hebat. Dan (sikap) beliau yang natural (semulajadi).

“Apabila beliau masuk ke kampung, apabila beliau bercakap dengan orang kampung, beliau nampak natural. Beliau tidak perlu tunjuk lagaknya. Main drama kata orang,” katanya.

Berjiwa rakyat

Menganggap Anwar adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat seperti pengasas negara sebelum ini, Kadir menambah kampung Anwar berdekatan dengan kampungnya – di Kulim Bandar Baharu – yang terletak kira-kira 10 kilometer.

“Jadi beliau adalah pemimpin berjiwa kampung. Sebab itu jika beliau berpeluang menjadi perdana menteri, beliau menjadi perdana menteri yang hebat di mata rakyat, (sikap) semulajadinya (yang suka) mengambil berat tentang rakyat,” katanya yang mengelak untuk membandingkan kepimpinan Anwar dan Najib.

Kadir, 73, adalah anak sulung kepada 12 adik beradik. Bapanya merupakan pengasas kepada Umno di Kulim Bandar Baharu.

Beliau aktif dalam politik sejak tahun 1970-an di bawah pentadbiran perdana menteri kedua Tun Abdul Razak. Pernah menjawat jawatan menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan pada tahun 1999 di bawah kepemimpinan Tun Mahathir Mohamad.

Kemudian, menyandang jawatan sebagai menteri penerangan di bawah pimpinan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kini Kadir selaku bendahari Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu – bahagian yang diwakili sejak lima penggal sebelum menyerahkan kepada adiknya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada pilihan raya umym 2008.

Bagaimanapun, Abdul Aziz tewas kepada wakil PKR Datuk Zulkifli Noordin sebelum beliau mengisytihar diri keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas.

No comments: